Hajiji rombak Kabinet Sabah, Fairuz pembantu Menteri Nizam dan Julita bertukar kementerian
13:10 Oct 27, 2022  |  By SabahKini2
 Hajiji rombak Kabinet Sabah, Fairuz pembantu Menteri Nizam dan Julita bertukar kementerian

Pembantu menteri kewangan yang disandang Nizam sebelum ini akan digantikan ADUN Matunggong, Julita Majungki yang sebelum ini adalah pembantu menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan beberapa pertukaran dalam Kabinetnya termasuk melantik ADUN Apas Nizam Abu Bakar Titingan sebagai pembantu menteri kepada ketua menteri menggantikan Wetrom Bahanda yang mengumumkan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), baru-baru ini.

Katanya, jawatan pembantu menteri kewangan yang disandang Nizam sebelum ini akan digantikan ADUN Matunggong, Julita Majungki yang sebelum ini adalah pembantu menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Selain itu, beliau turut mengumumkan pelantikan ADUN Pintasan yang juga setiausaha politik kepada menteri kewangan Fairuz Renddan sebagai pembantu menteri di Kementerian Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan.

“Berikutan pelantikan itu, jawatan setiausaha politik kepada menteri kewangan negeri yang dikosongkan oleh Fairuz akan diisi oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal,” katanya.

Hajiji berkata, pelantikan Fairuz sebagai pembantu menteri tugas-tugas khas dan penyelarasan sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.

Katanya, majlis angkat sumpah Fairuz akan ditetapkan oleh pihak istana negeri.

Wetrom yang juga ADUN Bandau sebelum ini mengumumkan keluar daripada GRS dan Bersatu untuk menyertai Warisan.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu, beliau menyertai pula parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang dipimpin Peter Anthony.

Wetrom juga dilantik sebagai salah seorang timbalan presiden parti itu dan diumum sebagai calon PKDM di kerusi Parlimen Kota Marudu.

 

2 Comments