PRU15: Rahman Dahlan ingin melanjutkan agenda tergendala di Kota Belud
16:10 Oct 27, 2022  |  By SabahKini2
PRU15: Rahman Dahlan ingin melanjutkan agenda tergendala di Kota Belud

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau mahu menyambung semula agenda pembangunan untuk Kota Belud yang tergendala sejak lima tahun lalu.

KOTA BELUD: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tidak menolak sekiranya dijadikan calon kerusi Parlimen Kota Belud dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini dan mahu menyambung agenda yang tergendala di daerah itu sejak lima tahun yang lalu.

Abdul Rahman berkata, beliau menyerahkan kepada pimpinan atasan dan juga kepimpinan UMNO di peringkat negeri untuk menentukan calon.

‘Kita di peringkat negeri kita akur siapa sahaja menjadi calon saya akan bagi komitmen begitu juga sekiranya saya ditakdirkan menjadi calon, yang tidak dijadikan calon akan membantu, biasalah sebelum penamaan calon ini akan berlaku sedikit pertandingan dalam parti tetapi itu adalah pertandingan sihat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Ambilan Saluran B40 UMS Sesi Akademik 2022/2023 Zon Kota Belud di sini hari ini.

Abdul Rahman turut menjelaskan yang mana beliau mahu menyambung semula agenda pembangunan untuk Kota Belud yang tergendala sejak lima tahun lalu.

“Bila saya kata sambung kepada yang tergendala itu saya ada agenda kuat dan perancangan yang jitu dalam pendidikan dan malah saya melihat bidang pertanian di Kota Belud ini bukan sahaja menjadi sumber makanan tetapi juga sumber kekayaan kepada petani.

“Sekarang ini di bidang pertanian kebanyakan petani menganggap ianya pekerjaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, jadi dalam perkara ini proses penjenamaan yang baharu akan diperkenal khususnya dalam industri pertanian padi di Sabah dan sudah pasti akan merancakkan lagi aktiviti pertanian sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga.

“Inilah yang saya mahu nyatakan iaitu untuk menyambung rancangan tergendala ini untuk memberikan isyarat kepada rakyat di Kota Belud ini, sebenarnya perancangan ini ada tetapi tergendala selama lima tahun sejak 2018,” katanya.

Katanya, walau bagaimanapun beliau akan tetap menyokong dan memperjuangkan agenda parti BN walaupun beliau tidak dicalonkan.

“Kalau pun calon lain yang bertanding di sini saya tidak ada masalah, bermakna saya akan terus menyokong dan memperjuangkan agenda parti saya untuk kestabilan dan kemakmuran rakyat di negeri ini,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) pernah menyandang kerusi Parlimen Kota Belud selama dua penggal sejak 2008.

Beliau tewas kepada calon Parti Warisan (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman, di kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU14 (2018). – SM

Comment