PRU15: GRS-BN umum 24 calon, kerusi Beluran masih dalam runding
15:11 Nov 03, 2022  |  By SabahKini2
PRU15: GRS-BN umum 24 calon, kerusi Beluran masih dalam runding

GRS mendapat 13 kerusi, sementara BN diberikan 11 kerusi untuk dipertaruhkan termasuk satu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya. Namun kerusi Beluran belum diputuskan. Datuk Seri Ronald Kaindee merupakan MP Beluran sebelum ini.

Gabungan Rakyat Sabah - Barisan Nasional (GRS-BN) mengumumkan 24 calon gabungan itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Daripada jumlah kerusi tersebut, GRS mendapat 13 kerusi, sementara BN diberikan 11 kerusi untuk dipertaruhkan termasuk satu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Dalam pengumuman yang dibuat secara serentak itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagaimanapun berkata, satu lagi kerusi iaitu Parlimen Beluran masih dalam perbincangan.

Jelas Bung Moktar, pemilihan calon dibuat bagi memastikan gabungan tersebut menang pada PRU15, sekali gus membantu membentuk kerajaan Persekutuan.

“Dengan ini ini saya ingin mengumumkan nama-nama calon di Sabah ini.

“Kita telah berunding dan kita akan pastikan calon-calon kita, di mana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding, BN bantu. Di mana pun begitulah, kita akan sokong dan bersama-sama bersatu," katanya dalam ucapan pada Majlis Pengumuman Calon GRS-BN di sini pada Rabu.

Kerusi Beluran disandang oleh Menteri Pertanian Industri dan Makanan, Datuk Seri Ronald Kaindee.

Sementara itu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru penyokong kedua-dua gabungan itu supaya bersatu hati bagi menyokong calon-calon gabungan tersebut pada PRU15.

Ketua Menteri Sabah itu menambah, kesatuan antara GRS-BN penting untuk memastikan suara sabah kuat dan didengari di peringkat nasional.

Melalui kesatuan tersebut, ujar Hajiji hak dan kepentingan negeri Sabah dapat diperjuangkan.

"Dalam pilihan raya ini kita mesti bersatu hati. Saya minta semua penyokong GRS, di mana saja berada sokong calon-calon diletakkan oleh BN, dan begitu lah sebaliknya.

"Kerana bagi saya, ini amat penting. Tujuan kita pada hari ini adalah untuk bersama mengikat janji dan berjuang untuk pastikan kemenangang cemerlang GRS-BN," katanya.

Dalam pengumuman tersebut, beberapa penyandang digugurkan dan tidak mempertahankan kerusi yang disandang mereka.

Ia termasuk Datuk Seri Azizah Mohd Dun (GRS-Bersatu); Datuk Yamani Hafez Musa; dan Datuk Abdul Rahim Bakri.

GRS mengandungi Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

 

1 Comment