Calon Parlimen Sepanggar: Terpulanglah kepada pucuk pimpinan- Rahman
00:02 Feb 26, 2018  |  By SabahKini2
Calon Parlimen Sepanggar: Terpulanglah kepada pucuk pimpinan- Rahman

Rahman Dahlan bersama YB Datuk Hjh Jainab & Datuk Bandar Kota Kinabalu melawat Pasar Inanam

Jadi, keputusan untuk menjadi calon ini, terpulanglah kepada pucuk pimpinan. Saya tahu ia agak klise, tetapi di Kota Belud pun saya sudah bekerja sejak 10 tahun lalu.Jika saya diberi peluang...

KOTA KINABALU: Desas-desus mengenai siapa calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di Parlimen Sepanggar seolah-olah terjawab selepas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, menyuarakan keterbukaannya untuk menjadi calon di kawasan berkenaan sekiranya diberikan peluang dan restu oleh pucuk pimpinan parti.

Sebelum ini, timbul spekulasi yang mendakwa wujud pergeseran di antara pemimpin-pemimpin UMNO berhubung kedudukan kerusi tersebut memandangkan penyandangnya, Datuk Jumat Idris, sebelum ini dikatakan masih mahu mempertahankan kerusi itu meskipun keahliannya dengan parti digantung.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, kerusi Parlimen P. 171 Sepanggar menjadi milik kuota UMNO selepas penyandangnya sebelum ini – Parti Progresif Sabah (SAPP) – bertindak keluar daripada BN sebagai pembangkang.

Manakala untuk Abdul Rahman di Kota Belud, kedudukannya juga menjadi tanda tanya selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dijangka akan bertanding sebagai calon Parlimen di situ.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut berpendapat Sepanggar antara kawasan yang berpotensi besar untuk dimajukan lagi; bersesuaian dengan platform kementeriannya memandangkan Parlimen berkenaan mempunyai pelbagai landasan termasuklah hub pendidikan, perindustrian dan ekonomi, dan kedudukannya juga amat hampir dengan Bandaraya Kota Kinabalu.

"Jadi, keputusan untuk menjadi calon ini, terpulanglah kepada pucuk pimpinan. Saya tahu ia agak klise, tetapi di Kota Belud pun saya sudah bekerja sejak 10 tahun lalu.

"Sekiranya saya diberi peluang, saya akan berunding dengan pemimpin tempatan. Mereka paling tahu isu urban di negeri ini terutamanya di Kota Kinabalu, ia amat unik dan memerlukan sentuhan khas. Di kawasan luar bandar, ia lebih jelas namun bila kita masuk di bandar, cabarannya lebih unik. Di sinilah tuntutan untuk memastikan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat mempunyai kerjasama erat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena Program Ramai-Ramai di Inanam anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini.

Mengulas mengenai 'calon pendatang', Abdul Rahman berkata, baginya perkara itu tidak timbul selagi dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai ikatan kukuh dan dapat mengeratkan hubungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat bagi memajukan kawasan yang diwakili.

"Saya di sini hari ini untuk memberikan apa juga keperluan oleh DBKK dan secara amnya di Sepanggar kerana saya percaya Sepanggar mempunyai banyak lagi potensi untuk diteroka.

"Saya ni antara orang yang boleh dikatakan free size atau one size fits all," katanya.

Sementara itu, dalam program berkenaan, Abdul Rahman mengumumkan kelulusan projek pembinaan Dewan Masyarakat Inanam yang bernilai RM10 juta selepas menerima 'lampu hijau' daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Abdul Rahman juga mengumumkan kementeriannya turut menubuhkan Majlis Perundingan Sepanggar yang dijangka akan dianggotai oleh golongan intelektual, akademik serta masyarakat setempat sebagai usaha mempelbagaikan medium menangani masalah-masalah rakyat di kawasan terbabit dalam tempoh terdekat ini.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, dan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai.

Sumber Asal: AstroAwani

1 Comment