Barisan Nasional (BN) Sabah memberi jaminan calon Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya akan diberikan jawatan di peringkat Persekutuan jika parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PUTATAN: Barisan Nasional (BN) Sabah memberi jaminan calon Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya akan diberikan jawatan di peringkat Persekutuan jika parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu dinyatakan Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin sambil menambah bahawa cadangan itu antara perkara yang sudah dibincangkan di dalam parti dan pastinya dilaksanakan jika BN kembali menerajui kerajaan.
“Insya-Allah, memang kita rancang perkara ini supaya ada wakil yang baik untuk mewakili UMNO dan BN Sabah di Persekutuan.
“Kita yakin dengan kemampuan serta kepemimpinan dalam diri Shahelmey. Oleh itu, kita berani menjanjikan jawatan di peringkat Persekutuan kepada beliau sekiranya BN memperoleh kemenangan pada pilihan raya ini,” katanya selepas menghadiri Program Lepaking Bersama Pengundi Muda di Kampung Sipanggil, malam tadi.
Sementara itu, Shahelmey ketika ditanya mengenai jawatan yang dijanjikan berkata beliau hanya mengikut keputusan ditentukan pucuk pimpinan selepas BN mencapai kemenangan pada PRU15.
“Saya pastinya menerima baik perkara ini dan semua keputusan kita serahkan kepada pimpinan tertinggi parti,” katanya.