PRU15 : Komponen parti GRS kekal selepas PRU15 – Hajiji
17:11 Nov 10, 2022  |  By SabahKini2
PRU15 : Komponen parti GRS kekal selepas PRU15 – Hajiji

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama yang dilaksanakan itu adalah kesinambungan kepada mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

TAMPARULI: Semua komponen parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bersama dalam gabungan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dinyatakan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah (SM) Advent Tamparuli di sini hari ini.

“Sudah tentu, Kerajaan Negeri kini adalah gabungan antara beberapa buah parti, saya kira ada lima parti dalam gabungan ini.

“Antaranya BERSATU Sabah; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) selain kita juga bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, kerjasama yang dilaksanakan itu adalah kesinambungan kepada mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Jadi kita perlu ada kerjasama yang erat untuk memastikan apa yang diberi kepercayaan oleh rakyat itu, mandat itu perlu kita teruskan,” katanya

Comment