Musa syor Rahman Dahlan TPM dari Sabah
17:11 Nov 11, 2022  |  By SabahKini2
Musa syor Rahman Dahlan TPM dari Sabah

Musa berkata, Rahman adalah pemimpin yang layak untuk mewakili suara rakyat Sabah kerana beliau memiliki semua ciri untuk dilantik ke jawatan penting di peringkat persekutuan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan layak dilantik sebagai timbalan perdana menteri bagi mewakili Sabah jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Musa berkata, Rahman adalah pemimpin yang layak untuk mewakili suara rakyat Sabah kerana beliau memiliki semua ciri untuk dilantik ke jawatan penting di peringkat persekutuan.

Katanya, Rahman yang pernah menjadi menteri di kerajaan persekutuan adalah seorang yang rajin dan mempunyai perancangan yang strategik.

“Pengundi Kota Belud mesti bersatu menyokong Rahman kerana beliau adalah pemimpin yang berkelayakan untuk jawatan itu bawah BN-Gabungan Rakyat Sabah,” kata Musa dalam ceramah di Usukan malam tadi.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berjanji akan melantik tiga timbalan perdana menteri jika gabungan itu menang PRU15. Katanya, jawatan itu akan mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Rahman berdepan saingan tiga penjuru di Kota Belud apabila dicabar bekas penyandang Isnaraissah Munirah Majilis daripada Warisan yang memenangi kerusi itu pada 2018 dan calon Pakatan Harapan, Madeli Modily Bangali.

Beliau sebelum ini adalah bekas penyandang kerusi Parlimen Kota Belud selama dua penggal sebelum memberi laluan kepada bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak bertanding di kerusi itu pada PRU14.

Pada PRU14 Rahman bertanding di Sepanggar selepas bertukar kerusi dengan Salleh Said Keruak namun tewas kepada Azis Jamman daripada Warisan.

 

 

1 Comment