(VIDEO) Rina Harun Menang dulu pun kerana 'Tabur Duit'
07:11 Nov 15, 2022  |  By SabahKini2
(VIDEO) Rina Harun Menang dulu pun kerana 'Tabur Duit'

Pengundi dedah Rina yang menang di Titiwangsa sebelum ini guna wang PRU-14. Kini takut kalah teruk Rina pada PRU15 'lari' ke kerusi baru, iaitu di Parlimen Sepang. Rina akan guna cara sama untuk menang

TITIWANGSA: Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini akan menjadi medan sokongan orang tempatan kepada bekas penyandang Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ternyata rata-rata pengundi di Keramat amat merindui kepimpinan Johari, atau mesra disapa Datuk Jo, yang sebelum ini tewas di tangan pemimpin wanita Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.

Rina pula pada PRU15 kali ini 'lari' mencuba nasib di kerusi baru, iaitu di Parlimen Sepang

Tinjauan media ke Kampung Datuk Keramat mendapati kempen memenangkan Johari amat rancak, bahkan banyak rumah-rumah menggantung poster wajah bekas Menteri Kewangan II itu, begitu juga di segenap jalan dan kedai-kedai dipenuhi bendera Barisan Nasional (BN).

Johari bakal berentap dengan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, yang juga penyandang Parlimen Shah Alam, selain daripada calon Pejuang, Datuk Khairuddin Abu Hassan dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga seorang doktor gigi, Dr Rosni Adam.

Salah seorang pengundi Titiwangsa yang ditemui, Zakaria Md Said, 68, memberitahu kekesalannya bagaimana tsunami politik turut menjejaskan Parlimen Titiwangsa sehingga memenangkan Rina.

Menegaskan dirinya bukan berat sebelah kerana menyokong BN selama ini, namun pilihan majoriti pengundi Parlimen Titiwangsa ketika itu terjadi akibat permainan wang.

"Sepatutnya penggal lepas, beliau (Johari) boleh menang, tapi di saat-saat akhir ada orang bagi duit, terang-terang beri duit.

"Malah saya sendiri dipanggil, mereka kata Datuk Jo dah kalah, mereka minta saya sertai parti mereka.

"Mereka kata, kalau nak duit mari jumpa saya (wakil pihak lawan). Saya kata saya bukan orang yang begitu, saya ada duit. Kemudian orang itu malu dengan saya, terus dah tak jumpa saya. Dia ingat saya boleh ikut-ikut dia.

"Saya duduk Keramat dah lama, kurang-kurang kalau dia ajak saya, saya boleh panggil kawan-kawan yang lain untuk tukar parti. Tak ada, kawan-kawan saya bukan orang yang begitu.

"Sampai sekarang dia (wakil parti lawan) malu. Dulu dia susah, Datuk Jo yang tolong dia. Tapi sampai masa tu, dia pusing (sokong parti lawan), ramai orang lain yang pusing kerana duit," katanya ketika ditemui.

Lebih kesal, Zakaria memaklumkan ketika kempen PRU14 berlangsung ketika itu, Rina amat rajin turun ke kawasan bertemu dengan pengundi Parlimen Titiwangsa dan menjanjikan pelbagai bantuan jika beliau menang.

Namun, janji tinggal janji, kelibat Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga itu didakwanya tidak kelihatan sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat di situ.

"Bukan tak nak minta (bantuan) dengan Rina, nak jumpa pun tak boleh. Sepanjang lima tahun di sini saya tak pernah jumpa Rina.

"Isteri saya ada kedai berniaga, waktu kempen dulu dia datang melawat, dia kata kalau saya menang akak boleh minta apa saja (bantuan) dengan saya, saya boleh bagi. Mana ada. Janji palsu, tipu.

"Rina ni pandai, dia masuk Keramat, dia cari taiko-taiko. Tapi mereka bukan orang Keramat, semua orang luar. Rina ambil, bela. Bukan percuma, semua berbayar," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Zakaria amat mengharapkan kemenangan Johari kembali di Titiwangsa, yang disifatkan beliau amat mudah dalam membantu mereka yang memerlukan, malah sering turun ke kawasan meskipun tidak lagi bergelar wakil rakyat ketika itu.

"Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 dahulu, ramai orang yang Datuk Jo tolong. Saya sendiri lihat, saya terlibat untuk hantar barang ke rumah-rumah yang memerlukan.

"Hantar barangan, sumbangan duit, sumbangan hari raya... Maknanya dia jaga kawasan Titiwangsa. Pejabatnya sentiasa dibuka.

"Malah saya sendiri recommend Datuk Jo kalau ada yang nak bantuan anak-anak nak belajar, masuk universiti dan lain-lain," jelasnya.

Comment