Barisan Nasional mendapat sokongan positif golongan ‘atas pagar’ - Shahelmey
16:11 Nov 18, 2022  |  By SabahKini2
Barisan Nasional mendapat sokongan positif golongan ‘atas pagar’ - Shahelmey

Shahelmey berkata, sepanjang 13 hari tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 ini, beliau telah melawat seluruh pelusuk kawasan Parlimen Putatan dan ia mendapat sambutan dan sokongan yang baik dari masyarakat di kawasan itu.

PUTATAN: Hari terakhir berkempen hari ini, Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya mengadakan lawatan di kawasan kedai-kedai Pekan Putatan untuk bertemu dengan masyarakat yang mengadakan urusan harian mereka.

“Apa yang saya dapat lihat, reaksi dan sambutan daripada mereka begitu positif sekali.

‘Ini bolehlah disimpulkan golongan-golongan ‘atas pagar’ yang tidak aktif berpolitik, tetapi mereka mengikuti perkembangan, mereka mengenali saya selaku Barisan Nasional dan ini sudah menjadi satu petanda bahawa sambutan rakyat atau masyarakat di Parlimen Putatan terhadap BN begitu cerah sekali,” katanya kepada media semasa Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Pekan Putatan.

Shahelmey berkata, sepanjang 13 hari tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 ini, beliau telah melawat seluruh pelusuk kawasan Parlimen Putatan dan ia mendapat sambutan dan sokongan yang baik dari masyarakat di kawasan itu.

“Selama 13 hari berkempen PRU15, saya telah lawat ataupun membuat ziarah ke seluruh pelusuk kawasan Parlimen Putatan daripada Taman Pantai Lok Kawi sehinggalah ke Pulau Gaya dan saya mendapati sambutan yang begitu positif sekali daripada rakyat ataupun pengundi-pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Keadaan ini meningkatkan keyakinan dan semangat kita untuk menghadapi hari mengundi pada esok hari, 19 November,” katanya.

Hampir semua kawasan telah beliau lawati sepanjang tempoh berkempen di kawasan parlimen itu.

Dalam pada itu katanya, mungkin terdapat segelintir kumpulan atau kampung-kampung, taman perumahan yang mungkin tidak sempat untuk beliau lawati secara bersemuka.

Bagaimanapun beliau turut berpesan supaya masyarakat ataupun pengundi di kawasan tersebut dapat menunaikan tanggungjawab dan mengundi dengan bijak pada 19 November ini demi kestabilan dan kemakmuran negara.

Sementara itu sekiranya beliau diberikan mandat menjadi wakil rakyat di Parlimen Putatan, apa yang beliau dahulukan adalah untuk melihat aspek-aspek bagaimana menangani risiko banjir kilat yang ada di Putatan.

Dan seterusnya, katanya, beliau akan berbincang dengan penduduk-penduduk di kawasan Parlimen Putatan untuk merancang pembinaan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ini kerana proses untuk melaksanakan projek perumahan ini akan memakan satu masa yang agak panjang, tetapi ianya perlu dimulakan dengan segera.

“Seperti duduk berbincang mengenalpasti di mana tapak yang sesuai untuk didirikan projek perumahan rakyat dan seterusnya memohon peruntukan daripada persekutuan dan akan diikuti oleh langkah-langkah yang seterusnya,” katanya.

Comment