Suhaimi tekad selesaikan masalah kebajikan rakyat di Libaran
16:11 Nov 18, 2022  |  By SabahKini2
Suhaimi tekad selesaikan masalah kebajikan rakyat di Libaran

Calon Barisan Nasional (BN) Libaran, Datuk Suhaimi Nasir memberitahu permasalahan yang dihadapi rakyat itu akan diusahakan selepas Pilihan Raya Umum ini.

SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) Libaran, Datuk Suhaimi Nasir tekad mahu menyelesaikan beberapa masalah kebajikan rakyat di Libaran.

Penduduk di beberapa buah kampung telah mengajukan masalah kebajikan yang mereka hadapi secara terus kepadanya semasa sesi berkempen di Kampung Tinusa 1, di sini hari ini.

Suhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik memberitahu permasalahan yang dihadapi rakyat itu akan diusahakan selepas Pilihan Raya Umum ini.

“Sebagai contoh, masalah dihadapi oleh seorang penduduk Kampung Tinusa 1 yang mempunyai 10 orang anak yang mana 4 orang adalah Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Walaupun ada bantuan yang telah diberikan oleh wakil rakyat di kawasan itu, tetapi masalah permohonan anak-anaknya untuk menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan perlu diselesaikan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Suhaimi akan berusaha membawa masalah yang dihadapi keluarga tersebut agar diambil perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

Sementara itu, dalam perjumpaan bersama jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kampung itu, Suhaimi mengingatkan mereka agar berjuang hingga ke garis penamat menjelang hari mengundi.

“Selagi ada kesempatan, teruskan merayu sokongan daripada rakyat. Kita perlu memastikan Parlimen Libaran menyumbang kerusi untuk pembentukan kerajaan persekutuan,” katanya.

Serentak itu, beliau turut mengajak pengundi Libaran agar turun menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 November ini.

“Pilihlah calon yang berwibawa dan mempunyai agenda jelas dalam membangunkan kawasan dan rakyat di Libaran ini,” jelasnya.

Comment