(VIDEO) GPS setuju bergabung BN, PN, GRS tubuh kerajaan namun BN kata belum dirunding
22:11 Nov 20, 2022  |  By SabahKini2
(VIDEO) GPS setuju bergabung BN, PN, GRS tubuh kerajaan namun BN kata belum dirunding

Gabungan Parti Sarawak (GPS) setuju bergabung dengan BN, PN dan GRS untuk menubuhkan kerajaan persekutuan. Namun Zahid memaklumkan belum ada perundingan dengan PN

 

Gabungan Parti Sarawak (GPS) setuju bergabung dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, keputusan itu bertujuan mengukuh dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

“Demi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara terpelihara, maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan.

Abang Johari dipetik Bernama sebagai berkata, GPS memilih Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menterinya.

Kenyataan ini menyusul beberapa jam selepas Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dilaporkan menemui Abang Johari untuk membincangkan pembentukan kerajaan persekutuan kerana tiada gabungan memiliki majoriti mudah dalam pilihan raya umum ke-15.

Pakatan Harapan bersama Muda memenangi 82 kerusi Parlimen, disusuli PN (73), BN (30), GPS (22), GRS (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan dua calon bebas.

 

Zahid nafi perundingan

Bagaimanapun Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada perundingan dengan  Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk kerajaan persekutuan, 

“Saya juga ingin memaklumkan tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Presiden Umno itu berkata, semua Ahli Parlimen BN yang memenangi pilihan raya umum ke-15 sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepadanya untuk menentukan sebarang kerjasama bagi menubuhkan kerajaan.

“Sehubungan ini, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti, termasuk kerusi Parlimen, selaras undang-undang larangan ahli Dewan Rakyat bertukar seperti seperti termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.”

Terdahulu, Istana Negara meminta pemimpin parti membentuk gabungan dengan parti lain yang mempunyai kerusi paling banyak untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, ketua parti atau gabungan yang memiliki kerusi mencukupi diminta mencadangkan calon perdana menteri kepada Istana Negara sebelum 2 petang esok.

 

Comment