Tok Mat cadang PN, PH gabung tubuh kerajaan, BN jadi pembangkang
00:11 Nov 22, 2022  |  By SabahKini2
Tok Mat cadang PN, PH gabung tubuh kerajaan,  BN jadi pembangkang

Menurut Tok Mat BN sedia menjadi pembangkang untuk semak dan imbang kerajaan baharu. Jangan menyalahkan BN sekiranya mana-mana parti masih gagal gagal menubuhkan kerajaan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan mencadangkan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, BN sedia menjadi pembangkang untuk semak dan imbang kerajaan baharu.

“Kami BN menerima keputusan rakyat menolak BN. Maka, kami ini tak ada kuasa untuk menubuhkan kerajaan.

“Saya cadangkan biarlah PN dan PH bergabung tubuh kerajaan sebab mereka mendapat bilangan undi lebih tinggi,” katanya di Facebook.

Keputusan pilihan raya umum ke-15 menyaksikan tiada gabungan yang memiliki majoriti mudah.

PH bersama Muda memenangi kerusi terbanyak dengan 82 kerusi Parlimen, diikuti PN (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan dua calon bebas.

Mohamad berkata, BN bersedia membantu dan menyumbang kepada kerajaan yang bakal dibentuk dengan ikhlas.

Bagaimanapun, beliau meminta jangan menyalahkan BN sekiranya mana-mana parti masih gagal gagal menubuhkan kerajaan.

“Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami.

“Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu,” katanya.

 

1 Comment