GRS sokong penuh kepimpinan Anwar, kata Hajiji
20:11 Nov 27, 2022  |  By SabahKini2
GRS sokong penuh kepimpinan Anwar, kata Hajiji

Pendirian itu dinyatakan dalam pertemuan bersama Anwar di Putrajaya hari ini yang diharap menjadi permulaan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Pusat.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor memberikan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pendirian itu dinyatakan dalam pertemuan bersama Anwar di Putrajaya hari ini yang diharap menjadi permulaan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Pusat.

“(Ia juga perkukuh) hubungan kerja antara perdana menteri dan kerajaan persekutuan demi kepentingan Sabah dan kesejahteraan rakyat,” kata Hajiji dalam kenyataan.

Sementara itu, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapn (PH) dalam hantaran di Facebook mengalu-alukan sokongan GRS.

Pada 25 Nov lalu, Hajiji yakin Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin memahami pendirian mereka menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Menurut Hajiji, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keutamaan dan manfaatnya untuk Sabah.

“Kita memikirkan kepentingan Sabah bawah GRS, di mana kita memberi keutamaan kepada negeri ini, saya ingat Tan Sri (Muhyiddin) tahu akan hal ini dan dia lebih bijak.

“Saya ingat tiada masalah kerana ini keputusan kita dalam GRS,” kata ketua menteri Sabah itu.

Anwar sebelum ini mengesahkan GRS menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya.

GRS merupakan gabungan lima parti – Bersatu, STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Usno. Tetapi, Bersatu bersama SAPP dan STAR sebahagian daripada PN diterajui Muhyiddin.

Sebelum ini, GRS bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong PN dan Muhyiddin membentuk kerajaan baharu selepas PRU15.

Namun, dua gabungan itu kemudian akur dengan sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pembentukan kerajaan perpaduan.

 

1 Comment