Menteri Kewangan II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sehingga semalam, Sabah berjaya mengutip CJN sebanyak RM1.79 bilion yang telah melebihi sasaran kutipan yang dianggarkan iaitu RM1.1 bilion.
KOTA KINABALU: Kutipan hasil cukai jualan negeri (CJN) bagi produk petroleum yang dikeluarkan di Sabah bermula Januari hingga semalam adalah lebih tinggi daripada apa yang dijangka.
Menteri Kewangan II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sehingga semalam, Sabah berjaya mengutip CJN sebanyak RM1.79 bilion yang telah melebihi sasaran kutipan yang dianggarkan iaitu RM1.1 bilion.
“Sasaran awal itu adalah berdasarkan harga minyak USD53 setong di pasaran antarabangsa, namun peningkatan harga minyak sepanjang tahun ini membolehkan kutipan CJN turut meningkat.
“Sukacita dimaklumkan bahawa hasil CJN petroleum yang dikutip kerajaan negeri lebih tinggi daripada apa yang kita kita jangka dan anggarkan. Setakat 28 November, iaitu kelmarin sebanyak RM1.79 bilion hasil CJN petroleum berjaya dikutip,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai jumlah CJN yang dianggarkan pada tahun ini bagi sektor minyak dan gas di Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Masidi berkata, penentuan harga CJN adalah berdasarkan piawaian antarabangsa yang turut digunakan Perbendaharaan Negara.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Yusof Yacob (BN – Sindumin) mengenai perbezaan CJN dikutip di Sabah dengan Sarawak, Masidi berkata kutipan dibuat Sarawak lebih tinggi berikutan aktiviti hiliran minyak dan gas yang lebih banyak di negeri itu.
“Sarawak lebih ke hadapan dalam industri hiliran minyak dan gas, sebab itu mereka dapat mengutip cukai yang lebih tinggi.
“Kitapun dalam usaha untuk meluaskan kutipan CJN termasuk produk urea dan ammonia untuk menambahkan lagi kutipan CJN Sabah,” katanya. – SM