Sabah terima pelaburan hampir RM20 bilion melalui Projek Green Steel
15:11 Nov 30, 2022  |  By SabahKini2
Sabah terima pelaburan hampir RM20 bilion melalui Projek Green Steel

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, syarikat berkenaan akan menyasarkan untuk membangunkan keseluruhan rantaian keluli hijau dan teknologi hijau bagi mengurangkan pelepasan karbon global antara 7% hingga 8% daripada jumlah pelepasan.

KOTA KINABALU: Sabah menerima pelaburan terbesar hampir RM20 bilion menerusi projek green steel yang dikendalikan Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (ESTELL Sabah) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, syarikat berkenaan akan menyasarkan untuk membangunkan keseluruhan rantaian keluli hijau dan teknologi hijau bagi mengurangkan pelepasan karbon global antara tujuh hingga lapan peratus daripada jumlah pelepasan.

Katanya, syarikat berkenaan juga berusaha untuk membina taman industri keluli hijau bersepadu di dalam kawasan SOGIP.

“Fasa pertama projek ini akan bermula pada suku keempat tahun 2023 dan dijangka siap menjelang suku keempat tahun 2025 dengan nilai pelaburan sebanyak 1.29 bilion USD.

“Setelah selesai Fasa pertama, Fasa kedua dan fasa ketiga akan mempunyai 2 set DRI lagi, 2.5mtpy setiap satu, dan akan termasuk pembuatan keluli, keluli “rolling”, pemprosesan keluli berkualiti tinggi dan kitaran semula sis, dan lain-lain.

“Projek ini dijangka akan menjana “spin-off” ekonomi yang besar kepada masyarakat setempat melalui penciptaan 10,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan dalam tempoh pembinaan dan 1,752 dalam tempoh operasi bagi Fasa I sahaja dengan tambahan 8,000 lagi peluang pekerjaan secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Land Lease Agreement untuk Projek Green Steel antara SOGDC dan Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (ESTELL Sabah) di sini hari ini.

Majlis itu turut disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Abdul Rahman berkata, bagi fasa kedua dan ketiga pula dijangka akan mewujudkan 5,455 peluang pekerjaan sepanjang tempoh operasi, selain 30,000 lagi peluang pekerjaan secara langsung.

“Semua ini akan memerlukan perancangan yang kemas dan teraturoleh Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri telah memberikan komitmen bersama dengan agensi-agensi lain termasuk Kementerian Pembangunan Perindustrian dan agensi lain bagi memastikan keperluan yang diperlukan oleh syarikat tersebut akan dapat dicapau dan dipenuhi.

“InsyaAllah, SOGIP akan menjadi penanda aras baru dalam pembangunan perindustrian di negeri Sabah dan akan menjadi destinasi pilihan pertama bagi pelabur-pelabur di rantau asia dan juga di rantau asia tenggara ini,” katanya.

Comment