Sabah berpendirian untuk tetap tuntut hak 40%
15:12 Dec 01, 2022  |  By SabahKini2
Sabah berpendirian untuk tetap tuntut hak 40%

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri juga akan memastikan bahawa keperluan dan kepentingan Sabah akan sentiasa diutamakan dan diperjuangkan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri juga akan memastikan bahawa keperluan dan kepentingan Sabah akan sentiasa diutamakan dan diperjuangkan. 

“Tular kebelakangan ini mengenai salah faham kononnya Kerajaan Negeri Sabah tidak lagi menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah MA63.

“Hari ini saya telah menjelaskan perkara ini di dalam sidang DUN agar salah faham ini dapat diperjelaskan dan diperbetulkan.

“Saya sendiri telah menyuara dan menegaskan pendirian Kerajaan Negeri di dalam Mesyuarat Majlis Khas MA63 untuk terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah MA63,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membuat penggulungan Kementerian Kewangan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya turut berharap tidak ada lagi kekeliruan dan salah faham terhadap perkara tersebut.

Katanya, apa yang paling penting ianya tidak lagi diputarbelitkan kerana ianya boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat. 

“Sama-samalah kita berganding bahu dan bekerjasama untuk menuntut hak rakyat Sabah. Sekali saya ingin tegaskan, Kerajaan Negeri Sabah akan terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah MA63,” katanya.

Berhubung dengan pemberian khas kepada Sabah, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus berunding untuk menjalankan kajian semula pemberian khas ini. 

Katanya, sekiranya amaun baharu dipersetujui sebelum 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan pembayaran khas kepada negeri Sabah.

“Sepertimana yang kita sedia maklum, untuk 53 tahun iaitu sejak tahun 1969, Kerajaan Negeri menerima amaun pemberian khas yang statik tanpa sebarang peningkatan iaitu hanya RM26.7 juta setahun. 

“Namun, di bawah pimpinan Kerajaan GRS, susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang telah diadakan, akhirnya, pada bulan April yang lalu, buat kali pertama semenjak 1969 kita telah berjaya mencapai kata sepakat yang mana bayaran pemberian khas ditingkatkan.

“Saya amat sedar dan tahu bahawa peningkatan pembayaran kepada RM125.6 juta (4.7 kali ganda) yang telah pun kita terima pada tahun ini adalah jauh lebih rendah berbanding apa yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa peningkatan bayaran tersebut diterima tanpa prejudis atas dasar bahawa ia adalah pengaturan secara interim dan telah menegaskan hak-hak Kerajaan Negeri untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan serta mendapatkan sebarang bayaran tunggakan ke atas ketiadaan semakan semula pemberian khas semenjak tahun 1973.

Tambahnya, kekeliruan telah timbul apabila dokumen pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D Negeri Sabah) 2022 telah disalah tafsir oleh beberapa pihak.

“Bagi membolehkan pembayaran interim tersebut dibuat, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D Negeri Sabah) 2022 perlu diwartakan. Ini jelas adalah untuk membolehkan pembayaran interim sahaja,” katanya. – SM

Comment