Zahid, Fadillah TPM dan 25 Menteri angkat sumpah jawatan
20:12 Dec 03, 2022  |  By SabahKini2
Zahid, Fadillah TPM dan 25 Menteri angkat sumpah jawatan

Kesemua Jemaah Menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Dua timbalan perdana menteri dan 25 Jemaah Menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara di sini.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis itu. Hadir sama Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Udara Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Kesemua Jemaah Menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Menteri-menteri itu mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman pembentukan Jemaah Menteri baharu malam tadi oleh Anwar yang turut memegang portfolio menteri kewangan.

Pada majlis itu, menteri-menteri itu dibahagikan kepada enam kumpulan dengan kumpulan pertama dimulakan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Jemaah Menteri kerajaan perpaduan dijadualkan menghadiri mesyuarat khas Isnin ini di Putrajaya untuk penetapan peraturan-peraturan baharu dalam pentadbiran sebelum memulakan tugas secara rasmi di kementerian masing-masing.

 

4 Comments