Sabah bangunkan masyarakat dengan pendekatan nilai seni terpuji
15:12 Dec 08, 2022  |  By SabahKini2
Sabah bangunkan masyarakat dengan pendekatan nilai seni terpuji

Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, nilai-nilai seni itu pada asasnya adalah menurut kepada landasan syarak.

KUNDASANG: Kerajaan sentiasa mencari pendekatan bagi membangun masyarakat dengan nilai-nilai seni yang terpuji.

Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, nilai-nilai seni itu pada asasnya adalah menurut kepada landasan syarak.

“Islam merupakan agama yang indah dan sejahtera yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh ummat manusia tanpa mengenal bangsa. Al-Farabi menjelaskan tentang seni itu sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan. Al-Ghazali pula menjelaskan bahawa seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.

“Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah SWT. Allah menciptakan manusia dengan keseniaan dari segi perbezaan rupa dan warna kulit. Bahkan, kesenian unggul dalam Islam sendiri terpancar pada Ummul Kitab (al-Quran) yang diturunkan sebagai panduan dan pedoman untuk semua umat manusia.

“Naskhah lengkap panduan hidup umat Islam merupakan seni yang tidak dapat ditangkis oleh mana-mana kesenian lain kerana ketinggian nilai budi, saranan akhlak juga peraturan hidup manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perkampungan Khatat Sedunia, Sabah, Malaysia di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Kundasang hari ini.

Terdahulu, teks ucapan Arifin dibacakan pembantunya Datuk Fairuz Renddan.Arifin berkata, seorang pencinta seni harus mengetahui apa yang sesuai dengan kehidupan beragama dan yang bertentangan dengan Isam hendaklah ditinggalkan.

Katanya, motif berseni tidak seharusnya bermatlamatkan kepada hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan.

“Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia.

“Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan, sekiranya betul pembawaan seni itu, ianya dikira sebagai ibadah,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin turut merakamkan penghargaan atas penganjuran perkampungan khatat sedunia itu.

“Semoga ianya memberi manfaat kepada para peserta dalam mengangkat seni khat islami yang telah menjadi warisan kepada masyarakat kita hari ini,” katanya. – SM

Comment