Kekal GRS, ADUN Bersatu Sabah tinggalkan Bersatu, tubuh parti tempatan baharu
11:12 Dec 10, 2022  |  By SabahKini2
Kekal GRS, ADUN Bersatu Sabah tinggalkan Bersatu, tubuh parti tempatan baharu

Bersatu akhirnya 'bungkus' di Sabah. Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) turut mengambil kira nasihat Yang diPertuan Agong. GRS sokong Kerajaan Perpaduan Anwar

Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengumumkan keluar dan seterusnya meninggalkan parti itu selepas mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini khususnya di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) turut mengambil kira nasihat Yang diPertuan Agong.

Katanya, ia adalah menerusi pertimbangan terbaik untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

"Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

"Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia. Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah,"' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, bagi melangkah ke hadapan, pihaknya akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu.

Namun katanya, untuk sementara, pihaknya secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

"Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara.

"Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.

"Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, keputusan kepimpinan BERSATU Sabah untuk meninggalkan BERSATU adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Katanya, ini kerana di peringkat Persekutuan BERSATU adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.

"Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli BERSATU," katanya.

 

10 Comments