Empat Ahli Parlimen Parti GRS tidak hilang kerusi – Peguam Datuk Tengku Fuad
19:12 Dec 11, 2022  |  By SabahKini2
Empat Ahli Parlimen Parti GRS tidak hilang kerusi – Peguam Datuk Tengku Fuad

Tiada perlanggaran di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan sejak empat ahli Parlimen itu dipilih di bawah GRS. Jadi empat MP itu tidak kehilangan kerusi mereka.

Empat ahli Parlimen Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak melanggar Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, kata Peguam Undang-Undang Perlembagaan, Datuk Tengku Fuad Tengku Ahmad.

Beliau berkata, keempat-empat ahli Parlimen terlibat yang meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan kehilangan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Bagi menjawab kenyataan bekas Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking baru-baru ini, empat ahli Parlimen GRS tidak akan kehilangan kerusi mereka kerana meninggalkan Bersatu.

"Ini kerana empat ahli Parlimen itu bertanding sebagai calon Parti GRS pada PRU15 dan bukannya calon Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

"Oleh itu, tiada perlanggaran di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan sejak empat ahli Parlimen itu dipilih di bawah GRS," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya pada Ahad turut berkata, kedudukan empat ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS dalam PRU15 akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Empat ahli Parlimen terbabit ialah Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).

Dalam perkembangan sama, Tengku Fuad berkata, keputusan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan parti dan menjadi ahli GRS secara automatik, ia tidak memberi kesan kepada kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

"Ini kerana kerjasama GRS-BN kekal dengan 46 ADUN selain keyakinan dan komitmen yang diberikan tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) menyokong beliau sebagai Ketua Menteri.

"Difahamkan juga, tiga ADUN Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan seorang ADUN Bebas kekal menyokong kerajaan GRS-BN.

"Berdasarkan jumlah itu, Hajiji jelas mendapat sokongan majoriti 57 ADUN daripada 79 ADUN, maka beliau terus mendapat sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah

 

 

6 Comments