Lima gabungan politik meterai perjanjian, kukuhkan Kerajaan Perpaduan
03:12 Dec 17, 2022  |  By SabahKini2
Lima gabungan politik meterai perjanjian, kukuhkan Kerajaan Perpaduan

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani oleh ketua gabungan iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan P

Lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Perkara itu dimeterai melalui Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan jam 3.15 petang di bangunan Perdana Putra pada Jumaat.

MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung gabungan politik iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (BN) Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS) dan Datuk Seri Masidi Manjun (GRS).

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani oleh ketua gabungan iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

Menerusi matlamat perjanjian tersebut, gabungan itu bersetuju menjunjung kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan memelihara serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

PH, BN, GPS, GRS dan Warisan turut mengisytiharkan komitmen mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara.

Sistem raja berperlembagaan akan terus dipertahankan dan demokrasi berparlimen diperkukuh selain hak serta kuasa rakyat di dukung oleh Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan kekal terpelihara tanpa menafikan hak beragama bagi masyarakat bukan Islam seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan serta bahasa rasmi negara ini turut terjamin menerusi MoU tersebut.

Selain itu, keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman, institusi awam dan keberkesanan serta profesionalisme pasukan keselamatan ditegakkan.

Perjanjian permuafakatan itu turut bermatlamat memperkuat dan mengupayakan pemisahan kuasa di antara cabang-cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman Kerajaan Persekutuan.

Langkah tersebut supaya satu sistem pemerintahan yang mempunyai timbang tara yang kuat dapat dipupuk demi mengelakkan pemusatan kuasa dan penyelewengan.

 

2 Comments