Keahlian Bersatu dalam GRS digugurkan, Hajiji kekal pengerusi
03:12 Dec 19, 2022  |  By SabahKini2
Keahlian Bersatu dalam GRS digugurkan,  Hajiji kekal pengerusi

Susulan tindakan Ronald Kiandee akhirny Timbalan Pengerusi GRS Maximus Ongkili berkata ini kerana Hajiji dikekalkan sebagai pengerusi GRS, manakala keanggotaan Bersatu dalam gabungan itu telah digugurkan.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyangkal kenyataan Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee bahawa memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani Hajiji Noor tidak sah, berikutan dia tiada lagi keabsahan untuk terus menjadi pengerusi GRS selepas keluar dari Bersatu.

Timbalan Pengerusi GRS Maximus Ongkili berkata ini kerana Hajiji dikekalkan sebagai pengerusi GRS, manakala keanggotaan Bersatu dalam gabungan itu telah digugurkan.

"Saya selaku timbalan pengerusi GRS telah mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS pada 9 Disember lalu.

"Mesyuarat itu telah mengekalkan Hajiji sebagai pengerusi GRS dan menggugurkan keanggotaan Bersatu sebagai ahli badan gabungan dalam GRS," kata Ongkili dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ronald mempersoalkan keabsahan MOU yang ditandatangani Hajiji bersama-sama PH dan parti lain dalam kerajaan pada Jumaat lalu.

"Saya menegaskan bahawa Hajiji yang dilantik sebagai pengerusi GRS atas kapasiti beliau sebagai ketua Bersatu Sabah sebelum ini, tidak lagi mempunyai keabsahan untuk kekal sebagai pengerusi GRS oleh kerana tindakan beliau keluar dari Bersatu.

"Berikutan ini, perjanjian persefahaman gabungan parti-parti politik menyokong kerajaan persekutuan pimpinan PH yang ditandatangani oleh Hajiji sebagai pengerusi GRS semalam tidak sah dan tidak mewakili aspirasi Bersatu melalui GRS," katanya.

Bagaimanapun, Ongkili hari ini berkata Kiandee mahupun Bersatu tiada sebarang kaitan dengan MOU tersebut.

Terdahulu, Ronald dilantik sebagai ketua Bersatu Sabah pada 11 Dis lalu bagi menggantikan Hajiji selepas dia dan empat lagi ahli parlimen dari parti itu keluar mengumumkan "keluar" Bersatu.

Untuk rekod, empat ahli parlimen berkenaan bertanding di bawah tiket GRS, berbeza dengan Ronald yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, timbul pertikaian yang mendakwa empat ahli parlimen berkenaan - Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) - melanggar undang-undang antilompat parti.

Bagaimanapun, mereka kemudian mendakwa sudah menyertai GRS sebelum PRU lagi. GRS terdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebagai parti politik, meskipun merupakan gabungan.

 

 

2 Comments