147 undi Johari Abdul Speaker Dewan Rakyat
11:12 Dec 19, 2022  |  By SabahKini2
147 undi Johari Abdul Speaker Dewan Rakyat

Johari berjaya menerima 147 undi berbanding Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang menerima 74 undi

PARLIMEN -- Datuk Johari Abdul hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perkara itu diumumkan oleh setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin selepas undian yang menyaksikan Johari berjaya menerima 147 undi berbanding Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang menerima 74 undi.

Selepas ini aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), disusuli pemilihan Timbalan Speaker.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan nama Datuk Johari Abdul mewakili blok kerajaan, manakala Perikatan Nasional (PN) mencalonkan bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

Johari yang  berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, namun tidak menyertai PRU15, sebaliknya digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil PH menang

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor dari BN, dan Ahli Parlimen Lanang dari PH, Alice Lau dijangka menjadi calon kerajaan bagi jawatan Timbalan Speaker.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengemukakan usul agar polis memastikan Ahli Parlimen tidak dihalang memasuki Parlimen.

Selepas itu, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang mengenai Kumpulan Wang Disatukan bagi bacaan kali pertama.

RUU bagi bacaan kali pertama tidak akan melalui perbahasan dan menjadi perkara prosedur.

Ini akan diikuti dengan undi percaya terhadap Anwar Ibrahim yang akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Rang undang-undang Kumpulan Wang Disatukan dan usul bagi peruntukan lain berkemungkinan besar dibahaskan esok.

Comment