MA63: Kuasa kawal selia bekalan gas diberikan kepada Kerajaan Sabah - Anwar
14:12 Dec 21, 2022  |  By SabahKini2
MA63: Kuasa kawal selia bekalan gas diberikan kepada Kerajaan Sabah - Anwar

Kuasa kawal selia kepada Sarawak sudah diberikan sebelum ini. Kini Kerajaan Negeri Sabah dapat kuasa sama. Selepas ini Kerajaan Sabah boleh meneruskan sebarang rundingan mengenai bekalan gas di peringkat negeri, tanpa perlu menunggu Persekutuan.

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk memindahkah kuasa mengawal selia bekalan gas di kawasan Sabah kepada Kerajaan Negeri berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata, hal itu diputuskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963.

Jelas Ahli Parlimen Tambun itu lagi, hal seumpama itu pernah terjadi kepada Sarawak, dan tarikh pemindahan kuasa kawal selia kepada Sabah itu akan diputuskan berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

“Hari ini untuk (bekalan) gas, kita pindahkan kuasa kawal selia bekalan gas yang dulu di peringkat Petronas dan Persekutuan, kini dipindahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Ini telah berlaku untuk Sarawak (sebelum ini), dan ini dipindahkan kepada Sabah. Tarikh pelaksanaan itu tunggu perkenan YDP Agong, jadi proses (Sabah) itu, kelulusan Jemaah Menteri telah diperakui hari ini,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, selepas pelaksanaan pemindahan kuasa kawalselia itu, Keraaan Sabah selepas ini boleh meneruskan sebarang rundingan mengenai bekalan gas di peringkat negeri, tanpa perlu menunggu Persekutuan.

“Kuasa menetapkan harga (bekalan gas) dan juga perjanjian baharu itu dahulu diputuskan di pusat, tetapi dengan pemindahan kuasa ini, yang pernah berlaku di Sarawak, pemindahan ini menetapkan kuasa itu ke Sabah.

“Tapi tentu ada proses perundingan (yang perlu dilakukan dahulu), tapi kuasa itu (akan pergi) kepada Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Selain itu Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu diberi masa satu bulan dari sekarang untuk memutuskan beberapa perkara baharu.

“Soal MA63 dipengerusikan TPM Fadillah, kita beri tempoh sebulan dan insya-Allah awal Januari, genap sebulan (dari sekarang) kita akan kemukakan beberapa kemajuan yang lebih baik untuk selesaikan sebahagian besar isu yang dibangkitkan.

“Walaupun begitu, ada ada hal-hal lain tentang pindaan undang-undang, itu terpaksa ditangguhkan sehingga sidang Parlimen seterusnya,” katanya lagi.

 

1 Comment