Kawal selia bekalan gas, sidang khas DUN selepas diperkenan Agong- Hajiji
19:12 Dec 22, 2022  |  By SabahKini2
Kawal selia bekalan gas, sidang khas DUN selepas diperkenan Agong- Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia bagi bekalan gas daratan (regasifikasi, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan peruncitan) di Sabah

Kerajaan negeri akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bekalan gas selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia bagi bekalan gas daratan (regasifikasi, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan peruncitan) di Sabah berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, tarikh bagi pemindahan tersebut akan dibuat selepas perkenan diberikan.

"Ia merupakan aspirasi Sabah dan rakyat negeri ini.

"Kerajaan negeri teguh dalam usaha kita untuk menguasai dan menguruskan sumber minyak dan gas negeri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Hajiji beliau ada membangkitkan keperluan Kerajaan Pusat untuk memenuhi MA63 ketika pertemuan pertamanya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya keputusan pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas ke Sabah itu sebagai langkah untuk merealisasikan hak atau tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anwar pada Rabu berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di kawasan Sabah kepada Kerajaan Negeri berkenaan.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata, hal itu diputuskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan MA63.

Katanya, hal seumpama itu pernah terjadi kepada Sarawak, dan tarikh pemindahan kuasa kawal selia kepada Sabah itu akan diputuskan berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

 

Comment