Polisi imigresen ditentukan Sabah dan Sarawak - Armizan
10:12 Dec 31, 2022  |  By SabahKini2
Polisi imigresen ditentukan  Sabah dan Sarawak - Armizan

Ini sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Polisi imigresen, biar Sabah dan Sarawak tentukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Armizan Mohd Ali berkata dasar berhubung prosedur kemasukan mana-mana pihak ke negeri itu termasuk warga Semenanjung ditentukan kerajaan negeri-negeri berkenaan.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, peruntukan undang-undang dalam Bahagian 7 Akta Imigresen 1959/1963 memberikan kuasa khas kepada Sabah dan Sarawak apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

“Ini sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Perlu atau tidak sebarang perubahan polisi imigresen, biar Sabah dan Sarawak tentukan,” katanya

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim yang meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelesaikan “perkara mudah” dahulu sebelum terus melaksanakan perubahan institusi yang agak mencabar.

Zaid berkata, antara perkara mudah dimaksudkan itu termasuk membabitkan kemasukan penduduk Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Bolehkah perdana menteri minta kedua-dua negeri itu supaya membenarkan warga Semenanjung pergi sana tanpa keperluan IC (kad pengenalan) atau pasport?” katanya.

Katanya, peruntukan kuasa imigresen bagi kedua-dua negeri itu mengehadkan kemasukan penduduk Semenanjung hampir 70 tahun lalu mungkin ada asasnya, namun beliau tidak melihat keperluan pelaksanaan itu lagi pada masa ini.

Untuk rekod, kuasa imigresen adalah antara 20 perkara dipersetujui dalam pembentukan Malaysia serta terkandung dalam MA63.

Menerusi perkara tersebut, warga Malaysia dari Semenanjung yang masuk ke Sabah dan Sarawak perlu menunjukkan MyKad dan diberikan pas sementara untuk berada di kedua-dua negeri bagi tempoh tertentu.

Kerajaan Sabah dan Sarawak tetap dengan pendirian mahu semua perkara berkaitan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan Kerajaan Pusat.

Mahu minta kelonggaran polisi imigresen tetapi tuntutan MA63 berkaitan soal kewangan misalnya belum ditunaikan. Ini termasuk semakan semula pemberian geran khas,  bayaran balik 40 peratus hasil diperuntukkan kepada Sabah Sarawak seperti ditetapkan dalam Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

 

Comment