Tamat kontrak: Pegawai LHDN maklum awal, diserap pegawai tetap dan transformasi pendigitalan
13:01 Jan 01, 2023  |  By SabahKini2
 Tamat kontrak: Pegawai LHDN maklum awal, diserap pegawai tetap dan transformasi pendigitalan

Disambung kontrak setiap tahun namun LHDN tertakluk peruntukan, perubahan automasi digital malah pegawai kontrak dilantik tetap. Namun penamatan kontrak pegawai dimaklum lebih awal malah dibantu bekerja seperti di syarikat ejen cukai dan lain-lain.

Tiada yang kekal. Keputusan menamatkan kontrak kakitangan di Jabatan Kerajaan, agensi dan badan berkanun bukan perkara baru. Ia pastinya tertakluk kepada peruntukan jabatan atau agensi bagi pembayaran gaji, elaun dan sebagainya.

Terbaru Keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menghentikan amalan menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian dibuat susulan transformasi pendigitalan bagi membolehkan kebanyakan tugasan dan fungsi diautomasikan dalam meningkatkan kos kecekapan mentadbir sistem percukaian negara.

LHDN dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat pada 2018 dan diputuskan untuk dilaksana secara sepenuhnya bermula 1 Januari tahun depan. Bermakna beberapa tahun ditangguhkan sebelum dilaksanakan. 

Tidak mudah menamatkan pegawai kontrak namun keputusan perlu dibuat demi operasi LHDN. 

Penamatan pegawai LHDN kali ini membabitkan 42 orang pegawai kontrak bulanan dan 998 orang pegawai kontrak harian.

"Selaras perkembangan dan pembangunan prasarana teknologi maklumat di LHDN, proses kerja di agensi ini melalui pelbagai fasa digitalisasi yang pesat, sekali gus merubah tatacara kerja di LHDN.

"Selari dengan usaha digitalisasi ini, LHDN memperkemaskan struktur organisasinya yang mana turut membabitkan penstrukturan sumber manusia dan pelaksanaan termasuk mengkaji semula keperluan menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian di LHDN," katanya di sini, hari ini.

Makluman awal kepada pegawai

LDHD juga telah lebih awal memaklumkan kepada pegawai kontrak  berhubung kontrak mereka dan tiada lagi pengambilan pegawia baru bertujuan memberi ruang dan masa kepada mereka yang terkesan mengatur perjalanan kerjaya, selain mencari peluang pekerjaan di pasaran terbuka.

Bagi membantu bekas pegawai terkesan LHDN turut membantu mereka melalui penganjuran program bersama syarikat ejen cukai selain program MYFutureJobs, PERKESO

"LHDN mengambil inisiatif membantu pegawai yang terkesan untuk mendapatkan pekerjaan melalui penganjuran program bersama syarikat ejen cukai untuk memperkenalkan pegawai kontrak ini dan membuat pengesyoran bagi tujuan pengambilan kepada pihak terbabit.

"Selain itu, LHDN terbabit dalam penganjuran program MYFutureJobs yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pegawai kontrak yang sedang berkhidmat.

"Program ini antara kaedah pencarian kerja dalam kalangan pegawai kontrak yang bakal menamatkan perkhidmatan dengan LHDN pada 31 Disember 2022," katanya.

Dimaklumkan seramai 59 pegawai kontrak berjaya mendapatkan pekerjaan lain menerusi kerjasama dengan PERKESO.

Pegawai kontrak kepada pegawai tetap

LHDN juga seperti jabatan dan agensi lain ada menawarkan lantikan kontrak ke jawatan tetap atau ke peringkat lebih tinggi berdasarkan merit kelayakan dan kesesuaian jawatan.

Bagaimanapun, lantikan ke jawatan tetap secara menyeluruh sudah tentu terhad sebagaimana yang dilakukan sebelum ini diputuskan kerajaan pegawai kontrak lebih 15 tahun diberi jawatan tetap.

Pastinya semua pegawai kontrak kepada tetap tidak akan dapat dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan keseimbangan peluang antara calon kategori lain yang berkelayakan seperti calon dalam kalangan pegawai tetap sedia ada dan calon dari luar LHDN. 

"Untuk rekod, seramai 653 orang pegawai kontrak dilantik ke jawatan tetap bagi tempoh mulai 2017 hingga 2022," katanya.

Justeru, keputusan LHDN tidak meneruskan perkhidmatan pegawai kontrak tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak, tetapi bertunjangkan hasrat meningkatkan kecekapan operasi, selain memastikan sumber kewangan negara digunakan secara optimum bagi mengelak sebarang pembaziran.

 

Respon MTUC

Sehubungan isu ini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak perlu terkejut kerana suasana lebih teruk pernah berlaku sebelum ini apabila kerajaan bukan saja menamatkan khidmat pegawai kontrak tetapi menutup beberapa jabatan seperti Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Hal Ehwal Khas  (JASA) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Di mana MTUC dan CEUPACS ketika itu?

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merupakan satu badan berkanun  di bawah Kementerian Kewangan oleh itu mereka juga tertakluk kepada peraturan dan pekeliling kerajaan.

Jadi dakwaan Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor bahawa pihaknya terkejut dengan tindakan pengurusan LHDN yang didakwa tidak memikirkan nasib pekerja bawahan malah tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan mereka yang terlibat adalah sesuatu yang tidak benar.

Semua pegawai kontrak bulanan dan harian sedia maklum perkara ini. Pelbagai usaha membantu mereka namun mentaliti pegawai bahawa lantikan kontrak pegawai lebih terjamin tidak benar kerana semua tertakluk kepada peruntukan dan situasi jabatan atau badan berkanun itu.

Bukan tidak pernah ada peluang diberikan malah pegawai kontrak diberi jawatan tetap tetapi bukan semua boleh diambil. Prestasi pegawai perlu dilihat juga.Ramai juga pegawai LHDN bekerja di syarikat ejen cukai kerana pengalaman mereka.

 

42 Comments