36 KIR mangsa air pasang terima Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam
15:01 Jan 03, 2023  |  By SabahKini2
36 KIR mangsa air pasang terima Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyempurnakan penyerahan bantuan berkenaan kepada mangsa-mangsa terlibat dalam fenomena air pasang besar berlaku pada akhir Disember 2022 menyebabkan rumah kediaman mereka mengalami kerosakan.

KOTA KINABALU: Seramai 36 Ketua Isi Rumah (KIR) Kampung Tanjung Aru Baru yang terjejas akibat fenomena air pasang besar menerima Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam sebanyak RM1,000 setiap KIR, di Balai Raya kampung itu, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyempurnakan penyerahan bantuan berkenaan kepada mangsa-mangsa terlibat dalam fenomena air pasang besar berlaku pada akhir Disember 2022 menyebabkan rumah kediaman mereka mengalami kerosakan dan ada juga yang roboh sepenuhnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan tiga KIR yang rumah mereka roboh sepenuhnya akan menerima bantuan tambahan RM20 ribu daripada Kerajaan untuk membina rumah baharu. Manakala 33 lagi KIR yang rumah mereka rosak sebahagian besar akan menerima bantuan RM10 ribu.

“Dengan bantuan dan wang Ihsan itu kerajaan berharap dapat membantu mengurangkan sedikit beban mangsa-mangsa terlibat”, katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan rumah-rumah mangsa di Kampung Tanjung Aru Baru.

Ditanya mengenai perkembangan terkini mangsa bencana air pasang besar di Kampung Forest, Sandakan, Hajiji berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di daerah itu.

“Kita masih lagi menunggu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Sandakan, ada beberapa pendapat di sana, salah satunya ialah mereka (mangsa) tidak mahu dibina rumah di kawasan tersebut, jadi sekarang kita sedang mencari satu kawasan yang sesuai.

“Setakat ini ada mangsa yang kita pindahkan sementara di pusat Program Perumahan Rakyat (PPR), kita tunggu dulu laporan itu baru kita boleh buat keputusan dan beri bantuan,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan, Datuk Ag Shahminan Datuk Ag.Sahari dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru, Mohd Reduan Aklee.

Comment