Koyak teruk, Annuar Musa saman Razlan Rafii, Adrian Lim Chee En, K Pragalath Kumar tapi mana Hydroshoppe?
12:01 Jan 04, 2023  |  By SabahKini2
Koyak teruk, Annuar Musa saman Razlan Rafii, Adrian Lim Chee En, K Pragalath Kumar tapi mana Hydroshoppe?

TM dan Hydroshoppe belum membuat tindakan undang-undang tetapi Annuar Musa yang panas mengaitkan dirinya mengorak langkah menyaman 3 individu

Tidak tahan dengan troll dan serangan isu Menara KL, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang terasa ‘koyak’ mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa mengaitkan beliau dalam polemik Menara KL yang kononnya dijual oleh Telekom Malaysia Bhd (TM).

Mereka ialah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang juga kini Setiausaha Politik TPM, Datuk Razlan Rafii; serta dua lagi individu iaitu Adrian Lim Chee En dan K Pragalath Kumar.

Menurut Annuar, susulan isu tersebut, terdapat beberapa hantaran fitnah yang menjejaskan imej dan reputasi serta memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak termasuk dirinya.

“Setelah merujuk perkara tersebut serta meneliti secara mendalam bersama peguam, saya tiada pilihan melainkan mengarahkan peguam mengambil tindakan menurut jalur undang-undang terhadap tiga individu iaitu Adrian Lim Chee En, K Pragalath Kumar dan Mohd Razlan Rafii.

“Ada juga yang membuat posting tanpa mengemukakan identiti sebenar mereka dan pihak saya akan cuba untuk mengenalpasti mereka.

“Saya serahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan yang sesuai dan bertepatan dengan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi hantaran di Facebook dan twitternya.

Menurut Annuar, setiap perkara berbangkit terutama melibatkan kepentingan rakyat dan negara perlu disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib.

“Semua pihak perlu memberi kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” katanya lagi.

Sebelum ini, isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoal keputusan TM melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan 10 juta sahamnya 100 peratus kepada syarikat ‘cap ayam’ Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

Netizen mempersoalkan mengapa Hydroshoppe Sdn Bhd dibenarkan mengambil alih Menara KL Sdn Bhd yang punya pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta. Projek ini dilihat sebagai projek  ‘cash cow’.

Terlalu banyak persoalan dari penjualan mudah saham Menara KL Sdn Bhd itu dengan harga RM3.8 juta tidak setara dengan nilai anak syarikat TM itu.

Dilaporkan TM tidak mahu mengendalikan lagi konsesi Menara KL dan mahu fokus kepada perniagaan teras iaitu telekomunikasi dan teknologi namun memohon sambungan konsesi itu sebelum menyerahkan kepada syarikat kecil Hydroshoppe Sdn Bhd.

Kini SPRM menyiasat bagaimana TM memberikan kesemua sahamnya kepada Hydroshoppe Sdn Bhd. 

 

 

 

Comment