Kerajaan Sabah, Sarawak boleh lulus projek sehingga RM50 juta
21:01 Jan 04, 2023  |  By SabahKini2
Kerajaan Sabah, Sarawak boleh lulus projek sehingga RM50 juta

Lagi hadiah buat Sabah Sarawak. Kerajaan Persekutuan & Kementerian Kewangan menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat tanpa perlu kata putus peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, kelulusan oleh pentadbiran di kedua-dua wilayah itu perlu mematuhi peraturan kewangan sedia ada.

Anwar berkata, keputusan selaras perjanjian MA63 itu bagi memastikan projek yang tertangguh kerana keputusan berkaitan perlu dibuat oleh agensi Persekutuan, dapat dilaksanakan dengan segera.

"Walaupun peruntukan besar diberikan tetapi peruntukan itu tidak dapat dipenuhi kerana kerenah pentadbiran mengikut peraturan biasa yang terpaksa merujuk kepada Persekutuan.

"Jadi, kita sudah putuskan dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk menetapkan mana-mana projek bawah RM50 juta diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak.

"Ia dilaksanakan dengan mematuhi peraturan kewangan tetapi keputusan itu boleh dibuat di Kuching atau Kota Kinabalu tanpa dilengahkan kerana tunduk kepada peraturan lama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Kampung Forest, Sandakan berisiko roboh akibat dipukul ombak setiap kali fenomena air laut pasang besar. Kerajaan Sabah kini boleh menjalankan projek bernilai sehingga RM50 juta tanpa perlu merujuk kebenaran agensi Persekutuan. - Foto hiasan BERNAMA

Berhubung keputusan kuasa kawal selia bekalan gas yang dipindahkan kepada Kerajaan Sabah, Anwar berkata, perkara itu akan dimuktamadkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada bulan depan.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian MA63 sudah ditubuhkan dan dipengerusikan beliau sendiri, yang akan membuat keputusan berhubung perkara dasar dalam melaksanakan perjanjian MA63 itu.

Katanya, perjumpaan dengan pemegang taruh, iaitu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor akan diadakan selewat-lewatnya akhir bulan ini, berkemungkinan di Kuching.

"Untuk memastikan pelaksanaan lebih berkesan jawatankuasa tindakan, jawatankuasa kerja akan diteruskan dan ia akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof supaya hal dan perkara tertangguh dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

"Ini termasuk apa yang disebut sebagai peruntukan kepada Sabah dan Sarawak menurut peruntukan 112d dalam perjanjian MA63, yang menetapkan satu peruntukan khas yang munasabah kepada Sabah dan Sarawak," katanya.

Peruntukan itu berbeza dengan peruntukan operasi dan penyelenggaraan seperti Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Perdana Menteri berkata, mengikut perjanjian berkenaan, peruntukan awal yang diberikan, masing-masing sekitar RM16 juta dan RM25 juta bagi Sabah dan Sarawak serta harus dikaji semula setiap lima tahun.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak berlaku, justeru Kerajaan Persekutuan perlu memastikan peningkatan dengan jumlah munasabah diberikan.

"Ia hal yang dihidupkan semula dan akan dimuktamadkan dengan sesegera mungkin," katanya.

Turut mendapat perhatian dalam Mesyuarat Kabinet semalam adalah projek Lebuh Raya Pan Borneo yang banyak tertangguh di Sabah dengan kerajaan bersetuju untuk menyegerakan dan meluluskan peruntukan tambahan.

 

Comment