Laluan utama KK-Sandakan (Jalan Riverside) Ranau terputus
16:01 Jan 05, 2023  |  By SabahKini2
Laluan utama KK-Sandakan (Jalan Riverside) Ranau terputus

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau berkata, kejadian disebabkan hujan lebat yang berterusan mengakibatkan kegagalan pembentung dan jalan putus yang membahayakan laluan.

RANAU: Hujan lebat menyebabkan laluan utama Kota Kinabalu – Sandakan di Kilometer 109.378, Jalan Riverside di sini, terputus hubungan akibat runtuhan di jalan berkenaan kira-kira jam 10 malam.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau dalam kenyataan berkata laluan berkenaan ditutup serta merta untuk semua kenderaan susulan kejadian terbabit.

“Kejadian disebabkan hujan lebat yang berterusan mengakibatkan kegagalan pembentung dan jalan putus yang membahayakan laluan.

“Pengguna jalan raya boleh melalui laluan alternatif melalui Jalan Sinarut Baru Togudon Baru yang hanya boleh digunakan untuk kenderaan kecil,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai agar mematuhi arahan dan papan tanda keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingin berlaku. 

Tambahnya segala kesulitan amat dikesali dan diharap bersabar untuk keselesaan bersama dimasa akan datang.

Sementara itu Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka susulan kejadian banjir kilat di daerah terbabit.

“Hujan berterusan lebih tiga jam menyebabkan beberapa buah kampung dilanda banjir kilat termasuklah Kampung Libang, Kituntul dan Marakau.

“Enam mangsa sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak kini ditempatkan di PPS Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang dibuka pada jam 12.45 tengah malam,” katanya.

Katanya enam lokasi masing-masing Kampung Libang, Marakau, Kituntul, Silou, Lasing dan Bahab dikenal pasti sebagai lokasi berisiko.

Tambahnya operasi pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk Ranau sentiasa terjaga.

Comment