44 ADUN sokong Hajiji kekal KM, Bung Moktar kata 'Game still on”
23:01 Jan 08, 2023  |  By SabahKini2
 44 ADUN sokong Hajiji kekal KM, Bung Moktar kata 'Game still on”

44 Adun bertemu di rumah Hajiji hari ini. Kerajaan akan dibentuk, rombakan kabinet terdekat. Manakala Bung Moktar pula berkata 'Game Still On' kena tunggu esok.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mempunyai sokongan majoriti seramai 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bagi meneruskan pentadbiran Kerajaan Sabah.

Beliau berkata, sokongan itu membolehkan Kerajaan pimpinannya masih kukuh untuk terus mentadbir Kerajaan Sabah.

“Untuk makluman semua kita mempunyai sokongan majoriti daripada 44 wakil rakyat ADUN kita di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini bermakna bahawa Kerajaan yang ada ini yang saya pimpin masih lagi kukuh dan kuat selain akan terus mentadbir negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil rakyat yang memberi sokongan kepada beliau di sini petang tadi.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, akuan bersumpah (SD) telah dihantar kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu semalam.

Ketika ditanya mengenai rombakan Kabinet Sabah, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, rombakan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

“InsyaAllah kita akan membuat rombakan Kabinet dalam masa terdekat,” katanya.

Antara yang hadir dalam pertemuan itu, wakil-wakil rakyat dari GRS; tujuh dari Pakatan Harapan (PH) dan lima dari Barisan Nasional (BN).

Berhubung dengan pertikaian perlembagaan mengenai penubuhan Kerajaan, Hajiji berkata, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah.

“Mengenai constitution ini, mana yang tidak puas hati mereka boleh bawa ke mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

 

Bung kata ‘Game still on’

Sementara itu Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata, “permainan masih berjalan” walaupun Ketua Menteri Hajiji Noor hari ini mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 44 ADUN untuk terus menerajui negeri itu.

Katanya, keputusan mengenai kemelut politik di Sabah dijangka akan diketahui malam esok apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Zahid Hamidi datang ke Kota Kinabalu.

“Sudah tentu dia (Hajiji) ada 44 (SD sokongan), itu semua orang saya, rasuah semua orang saya, tapi tidak apa, “bola masih bergolek dan kita menunggu Perdana Menteri Anwar Ibrahim datang esok.

“Mereka (Anwar dan Zahid) akan berjumpa dengan kita, Warisan serta GRS (Gabungan Rakyat Sabah), kemudian baru kita berkata mengenai perkara ini (kemelut politik Sabah),” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sejurus tiba daripada Kuala Lumpur, petang tadi.

Sementara itu, Bung mengulangi dakwaannya yang kerajaan Sabah pada hari ini telah jatuh selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan mereka.

“Kerajaan negeri tidak ada sebab kerajaan ini ditubuhkan sama-sama jadi apabila tarik diri kita bukan berhenti, kita tarik diri bermakna ketua menteri tidak ada lah…”game still on”,” katanya.

“Keputusannya akan diketahui esok…perdana menteri akan tiba (di Kota Kinabalu) lebih kurang jam 8 malam dari Jakarta manakala presiden (Umno) akan tiba sekitar jam 7 malam,” katanya.

Bung sebelum ini mengumumkan Umno Sabah menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji sebagai ketua menteri selepas mendakwa pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu telah melanggari perjanjian yang dibuat antara mereka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

 

 

Comment