Anwar beri restu Hajiji kekal KM kukuhkan Kerajaan Sabah
05:01 Jan 10, 2023  |  By SabahKini2
Anwar beri restu Hajiji kekal KM kukuhkan Kerajaan Sabah

Akhirnya Anwar PM beri restu kepada Hajiji kekal Ketua Menteri. Bagaimanapun Anwar beri ruang kepada Hajiji mencari formula yang baik demi kebaikan Sabah.

Kemelut perebutan kuasa di Sabah hampir selesai. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi 'restu' kepada Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Bagaimanapun, Anwar dalam masa sama mahu memberi ruang kepada Hajiji untuk mencari formula yang baik demi kebaikan Sabah.

"Ya, saya beri dia restu, dia adalah Ketua Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini, pada tengah malam Selasa.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas hasil pertemuannya dengan Hajiji berikutan kemelut politik yang melanda Sabah ketika ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa pandangan yang diberikan daripada rakan pimpinan dari Sabah adalah bagi memastikan kerajaan Sabah kukuh di bawah pimpinan Hajiji.

"Saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji dan rakan-rakan yang bersama mendengar semua pandangan dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana kita mahu kerajaan Sabah itu kukuh di bawah pimpinan Hajiji.

"Dan esok satu Rang Undang Undang (RUU) penting untuk kembalikan hak Sabah yang saya usulkan di jemaah menteri dan ini satu perubahan besar dan bagi saya ini satu keutamaan kemudian kita beri ruang untuk Ketua Menteri berbincang dan mencari satu formula yang baik untuk kebaikan negeri Sabah," katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang baru saja selesai mengadakan lawatan rasmi di Indonesia tiba di Kota Kinabalu untuk bertemu dengan pemimpin parti politik di negeri ini.

Pertemuan itu dipercayai bagi menyelesaikan kemelut politik melanda Sabah apabila Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat mengumumkan bahawa UMNO dan BN Sabah menarik semula sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Susulan daripada penarikan sokongan itu menyebabkan kerajaan yang ditubuhkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergolak apabila Hajiji didakwa sudah tidak mempunyai sokongan daripada sebahagian ADUN.

Bagaimanapun, Hajiji pada Ahad mendakwa bahawa beliau mendapat sokongan dan Akuan Bersumpah (SD) daripada 44 ADUN dan kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

 

3 Comments