Adun BN Shahelmey dilantik TKM Menteri JKR, James Ratib Menteri Pembangunan Masyarakat manakala dua Adun PH iaitu Christina dan Phong turut dilantik Menteri.
KOTA KINABALU: Dua ADUN Pakatan Harapan (PH) hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Kabinet Sabah yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Christina Liew (PKR) dan Phoong Jin Zhe (DAP) dilantik sebagai anggota Kabinet. Turut dilantik ahli kabinet baru ialah James Ratib wakil rakyat BN.
Liew yang juga ADUN Api-Api merangkap Pengerusi PH Sabah kembali ke jawatan asalnya di kerajaan Warisan Plus, portfolio Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah manakala Jin Zhe yang juga ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.
Sementara itu Bung Moktar Timbalan Ketua Menteri, Menteri Kerja Raya, Datuk Jaffry Arifin dan Datuk Yakub Khan disingkirkan daripada kabinet.
Upacara pelantikan Kabinet baharu Sabah hari ini turut menyaksikan pelantikan ADUN Tanjung Keramat dari UMNO, Datuk Ir Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III (TKM) Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu.
Beliau yang sebelum ini adalah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat menggantikan ADUN Lamag yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Turut diumumkan Hajiji ialah pelantikan Presiden STAR Jeffrey Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri I menggantikan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar.
Sementara itu Hajiji dalam kenyataan berkata, rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang. Untuk itu, negeri memerlukan satu pasukan yang kuat.
"Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan ADUN dari Pakatan Harapan (PH) ke dalam Kabinet, sebagai tambahan di samping wakil dari UMNO/BN dan GRS.
"Adalah penting bagi Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati," katanya.
Hajiji berkata, kerajaan Negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat. Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini.
"Bersama satu pasukan yang kukuh, kami akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.
"Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri," katanya dalam kenyataan itu.