Shahelmey menyerahkan keputusan kepada pihak pengurusan tertinggi UMNO
16:01 Jan 12, 2023  |  By SabahKini2
Shahelmey menyerahkan keputusan kepada pihak pengurusan tertinggi UMNO

Shahelmey mengulas mengenai dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas Majlis Angkat Sumpah jawatan Jemaah Menteri Kabinet Sabah yang baharu berlangsung di Istana Seri Kinabalu.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya menyerahkan kepada pihak pengurusan tertinggi UMNO Pusat bagi menangani isu dakwaan pelantikan beliau dalam jawatan Jemaah Menteri Kabinet Sabah bukan wakil ADUN UMNO Sabah.

Shahelmey mengulas mengenai dakwaan tersebut yang dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataannya semalam selepas Majlis Angkat Sumpah jawatan Jemaah Menteri Kabinet Sabah yang baharu berlangsung di Istana Seri Kinabalu di sini.

“Itu adalah kenyataan daripada dia (Bung) setakat ini kita serahkan kepada pengurusan tertinggi UMNO Pusat untuk menangani isu terbabit,” katanya pada sidang media selepas majlis taklimat selaku hari pertama berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya di Bangunan Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III berkata, lantikan jemaah menteri adalah prerogatif Ketua Menteri Sabah menurut perlembagaan.

Pada sidang media sama, ditanya mengenai ada pihak yang cuba mempertikai keabsahan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk.

Beliau berkata, macam mana dia pertikaikan? Pertikaikan dari sudut apa?

“Ketua Menteri Sabah punya sokongan seramai 44 orang ADUN jadi lebih daripada majoriti mudah dan Perdana Menteri pun telah menyatakan sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

“So, apa lagi, keabsahan apa lagi dan kalau kita lihat daripada sidang khas DUN yang telah kita lalui pada hari Selasa yang mana kita telah bentang bil atau Rang Undang-Undang (RUU) Tenaga dan Gas, RUU itu diluluskan oleh 44 orang ADUN dan itu merupakan bukti bahawa Ketua Menteri mendapat sokongan,” tegasnya.

Comment