Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, bantuan terkini yang dihulurkan adalah pembayaran tunggakan bil elektrik bekas pekerja SFI berjumlah RM798,000.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil inisiatif atas dasar keprihatinan membantu nasib bekas pekerja Sabah Forest Industri (SFI) yang terjejas sejak tahun 2019 dan ketika pandemik COVID-19.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, bantuan itu termasuklah pembayaran gaji dan KWSP mereka.
Katanya, bantuan yang terkini adalah pembayaran tunggakan bil elektrik bekas pekerja SFI berjumlah RM798,000.
“Bagaimanapun, ia bukanlah mudah untuk kerajaan negeri terus membantu mereka secara berterusan dan dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pekerja terbabit telah diberhentikan oleh bekas majikan mereka, syarikat pengilang kertas dan pulpa yang berpangkalan di India.
“Pekerja terbabit dinasihatkan supaya mencari pekerjaan alternatif, sementara menunggu kilang tersebut beroperasi semula oleh syarikat konsesi baharu.
“Kerajaan negeri juga telah meletakkan syarat bagi syarikat konsesi baharu itu untuk memulakan operasi dalam tempoh dua tahun dan bekas pekerja boleh memohon bekerja semula,” katanya.
Abidin berkata, Pegawai Daerah Sipitang turut diarahkan untuk menyelaraskan perkara itu dengan bekas pekerja SFI.