Muktamad, tiada kekosongan kerusi parlimen di Sabah kata Speaker
19:01 Jan 17, 2023  |  By SabahKini2
Muktamad, tiada kekosongan kerusi parlimen di Sabah kata Speaker

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dalam suratnya kepada Bersatu telah memberikan justifikasi dan alasan berhubung keputusan tiada pengosongan 4 kerusi parlimen di Sabah

Keputusan tiada pengosongan empat kerusi parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli Bersatu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya umum (PRU lalu adalah muktamad.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata segala justifikasi dan alasan berhubung keputusan itu telah dijelaskan olehnya dalam surat bertarikh 16 Jan yang dihantar kepada Bersatu.

“Seperti yang saya dah jawab (dalam surat kepada Bersatu)… itulah dia (keputusan), muktamad.

"Terpulang kepada Bersatu (untuk rujuk ke mahkamah), mereka ada hak dan boleh menggunakan segala hak mereka,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mempertikaikan keputusan Johari untuk tidak mengosongkan empat kerusi parlimen di Sabah iaitu Papar, Batu Sapi, Ranau serta Sipitang, dan bercadang untuk merujuk perkara itu ke mahkamah.

Muhyiddin dalam kenyataan hari ini mendakwa keputusan dibuat Johari adalah berdasarkan tafsiran Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, namun menurutnya Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan parti.

Justeru kata Muhyiddin, Johari terkhilaf dalam membuat tafsiran serta keputusan.

Menurut Muhyiddin, dalam surat bertarikh 16 Jan lepas Johari memberi alasan dengan mentafsir fasal itu, empat ahli parlimen berkenaan menjadi ahli langsung GRS pada 27 Okt 2022 dan mendapati keahlian mereka dalam Bersatu gugur serta-merta pada waktu berkenaan, iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU ke-15 pada 19 Nov 2022.

Bagaimanapun, presiden Bersatu itu berkata fasal berkenaan tidak terpakai kepada empat ahli parlimen terbabit kerana mereka adalah ahli Bersatu dan parti itu adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu.

Justeru Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘parti politik lain’ mengikut semangat dan inti pati fasal berkenaan.

Isu pengosongan empat kerusi parlimen itu timbul selepas bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar dari parti itu namun kekal di bawah GRS, pada 10 Dis lepas.

Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dalam kenyataan pada 29 Dis berkata parti itu menghantar notis pemakluman kepada Johari untuk mengesahkan bahawa telah berlaku kekosongan luar jangka kerusi parlimen berkenaan, selaras Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam notis berkenaan, ahli parlimen yang dinamakan ialah Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).- Bernama

 

Comment