Hajiji umum bakal lancar Parti Gagasan Rakyat Sabah
12:01 Jan 29, 2023  |  By SabahKini2
Hajiji umum bakal lancar Parti Gagasan Rakyat Sabah

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, parti Parti Gagasan Rakyat Sabah bakal dilancarkan dalam masa terdekat ini

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bakal mengetuai sebuah parti politik baharu dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, parti tempatan berkenaan bakal dilancarkan dalam masa terdekat ini namun tidak menyatakan maklumat terperinci mengenai parti terbabit.

"Nama parti ini ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah atau nama singkatannya Gagasan Rakyat.

"Kita akan menggunakan parti ini sebagai platform untuk meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti tempatan dan bernaung di bawah GRS," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini mengenai parti baharu yang dinyatakan beliau sebelum ini sejurus mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember tahun lalu.

Hajiji menyatakan parti itu adalah sebuah parti sedia ada namun kini sudah diambil alih oleh pihaknya.

"Ini adalah parti yang sudah sedia ada dan kita hanya ambil alih saja. GRS pula menerima keahlian parti ini sejak 9 Disember lalu.

"Dengan adanya Gagasan Rakyat, parti yang berada di bawah GRS kekal lima parti termasuklah Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)," katanya.

 

4 Comments