Hajiji sah Presiden Gagasan Rakyat parti tempatan Sabah
11:02 Feb 06, 2023  |  By SabahKini2
Hajiji sah Presiden Gagasan Rakyat parti tempatan Sabah

Gagasan Sabah parti tempatan yang kini anggota GRS yang dipengerusikan Hajiji selaku Ketua Menteri. Jawatankuasa telah dibentuk Timbalannya Datuk Seri Masidi Manjun

Bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekaligus dilantik sebagai Presiden parti menerusi Mesyuarat Agung Khas yang diadakan pada Ahad.

Kepimpinan Gagasan Rakyat turut dibarisi oleh Datuk Seri Masidi Manjun sebagai Timbalan Presiden, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Naib Presiden I), Datuk Rubin Balang (Naib Presiden II) dan Datuk Masiung Banah (Naib Presiden III).

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita ialah Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pergerakan Pemuda ialah Datuk Fairuz Renndan dan Ketua Pergerakan Beliawanis, Emmie M Idang.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, menerusi langkah itu semua ahli kini mempunyai wadah politik yang 100 peratus tempatan untuk meneruskan perjuangan mereka kepada rakyat dan negeri Sabah.

"Dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik saya dan rakan-rakan untuk bersama-sama dalam parti ini ialah parti berbilang kaum yang membawa citra inklusif dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan.

"Ini juga faktor yang meyakinkan rakan-rakan dalam GRS untuk menerima segera Gagasan Rakyat sebagai rakan komponen terbaharu mereka," katanya pada mesyuarat itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Ketua Menteri Sabah itu turut berkata, hasrat menjadikan GRS sebagai platform tempatan dengan disertai parti tempatan sudah lama dinyatakan sebelum ini.

"Komponen GRS sudah lama menyatakan hasrat agar GRS menjadi platform tempatan dalam erti kata sebenar, iaitu semua rakan kongsi menjadi parti tempatan.

"Sekarang kita 100 peratus tempatan," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, penerangan secara lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat sempena akan dilakukan sempena pelancaran parti itu pada 2 Mac depan.

Gagasan Rakyat akan menubuhkan struktur organisasi parti di semua 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

Mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian telah dijadualkan pada Julai dan September bersama kongres tahunan pada November depan.

Hajiji sebelum itu turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Presiden parti, Stephen Jimbangan dan kepimpinan parti itu atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadapnya serta atas kesediaannya berkorban demi kebaikan Sabah dan rakyatnya

 

Comment