BN terus terajui Sabah dan akan jaga orang Sabah- Najib
03:03 Mar 03, 2018  |  By SabahKini2
BN terus terajui Sabah dan akan jaga orang Sabah- Najib

ya tidak lupa komitmen saya. Saya ulang balik, kalau ada kita terambil atau tidak sengaja ambil hak orang Sabah, kita nak pulangkan balik..

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Sabah akan terus diterajui Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), namun mengingatkan anggota parti supaya tidak alpa dan terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti pemerintah itu.

Katanya, BN kini tertumpu terhadap pada tugasan untuk memenangi hati pengundi dan arahan jelas telah diberikan untuk melaksanakan tugasan itu.

"Saya yakin Sabah akan bersama BN, tetapi kita tak mahu alpa dan leka atau terlalu yakin.

"Kita masih perlu bekerja lebih keras lagi, " katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Perdana Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Najib turut berharap sambutan positif rakyat terhadap lawatannya ke Sabah dapat diterjemahkan kepada sokongan rakyat kepada BN sebagai kerajaan pada PRU14.

Alhamdulillah, sambutan dan reaksi rakyat amat positif. Kita bukan sahaja memberi visi kepada rakyat, tetapi trek rekod penyampaian kita selama ini tiada tolok bandingan.

Oleh itu, mandat baharu rakyat kepada kita (BN) akan memastikan rancangan kita untuk rakyat dapat direalisasikan dengan sepenuhnya, katanya.

Najib berkata kerajaan BN telah memastikan permintaan rakyat di Sabah telah ditunaikan dari segi kemajuan ekonomi, pembangunan infrastrutktur dan keselamatan.

Katanya, Sabah mempunyai potensi besar untuk lebih maju dan kerajaan mempunyai perancangan untuk memastikan masa depan Sabah lebih cerah lagi.

Beliau juga berkata dari segi keselamatan, kerajaan berjaya memulihkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan di pantai timur Sabah hasil komitmen anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sana.

Insya-Allah, keselamatan Sabah akan terus terjamin. Jangan kita ubah keadaan sekarang yang sudah baik. Kerajaan tahu anda (rakyat di Sabah) mempunyai sesuatu yang boleh memanfaatkan negeri dan negara, katanya.

Najib sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan BN terhadap hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Saya tidak lupa komitmen saya. Saya ulang balik, kalau ada kita terambil atau tidak sengaja ambil hak orang Sabah, kita nak pulangkan balik.

Sebab Sabah tetap dalam Malaysia. Sabah merdeka dalam Malaysia. Dan Sabah akan maju dalam Malaysia. Kerajaan BN akan jaga orang Sabah, jangan bimbang.

Saya, Najib Razak, akan jamin hak orang Sabah, Insya-Allah, katanya.

- Bernama

Comment