Angka korban gempa Turki lebih 12,000 orang
14:02 Feb 09, 2023  |  By SabahKini2
Angka korban gempa Turki lebih 12,000 orang

Menurut Agensi Pengurusan Bencana (AFAD) Turki, seramai 12,391 orang terbunuh manakala 62,914 yang lain cedera dalam gempa bumi yang berlaku pada Isnin dan berpusat di wilayah Kahramanmaras.

WASHINGTON: Jumlah korban dalam dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Turki sudah melepasi 12,000, lapor Agensi Anadolu memetik sebuah agensi kerajaan pada Khamis.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana (AFAD) Turki, seramai 12,391 orang terbunuh manakala 62,914 yang lain cedera dalam gempa bumi yang berlaku pada Isnin dan berpusat di wilayah Kahramanmaras.

Wilayah lain di selatan dan timur Turki yang turut terjejas ialah Gaziantep, Hatay, Osmaniye, Adiyaman, Malatya, Sanliurfa, Adana, Diyarbakir dan Kilis.

Lebih 6,000 bangunan runtuh dalam gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter itu.

“Kami telah menggerakkan semua sumber yang ada. Negeri ini bekerjasama dengan majlis perbandaran terutamanya AFAD,” kata Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika meninjau misi bantuan di Kahramanmaras pada Rabu.

Lebih 13 juta orang turut terjejas akibat gempa bumi itu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan akan menyampaikan bantuan kilat awal minggu depan untuk menyokong keperluan kemanusiaan di Turkiye, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres selepas menandatangani buku takziah di Rumah Turki di New York pada Rabu.

Guterres bertemu dengan Duta Turki ke PBB Feridun Sinirlioglu bagi menyampaikan ucapan takziah.

Beliau berkata PBB juga telah menghantar ketua bantuan kecemasan Martin Griffiths ke Turkiye.

“Martin Griffiths berada di Gaziantep. Beliau juga akan ke Aleppo dan kami cuba sebaik mungkin untuk menggerakkan bantuan PBB,” kata Guterres.

Comment