Hospital Medan berskala kecil akan dibuka satu lagi bantu gempa bumi Turkiye
15:02 Feb 13, 2023  |  By SabahKini2
Hospital Medan berskala kecil akan dibuka satu lagi bantu gempa bumi Turkiye

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, kumpulan tinjau akan bergerak ke kawasan berkenaan dalam waktu terdekat bagi mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk membina hospital.

PORT DICKSON: Sebuah lagi Hospital Medan Malaysia (HMM) berskala kecil dijangka dibuka bagi memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat gempa bumi di Turkiye kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau berkata kumpulan tinjau akan bergerak ke kawasan berkenaan dalam waktu terdekat bagi mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk membina hospital itu selain menilai keperluan logistik, jenis bantuan serta jumlah populasi yang perlu dibantu.

"Kemungkinan kami akan buka lagi satu dalam skala kecil, kami akan terima arahan selanjutnya nanti di mana tempat bergerak yang buka (HMM) sekarang, ada 110 anggota, yang ini kecil sikit (bakal buka) dan perkhidmatan hanya untuk tahap 2 iaitu untuk respons segera.

"Kalau tak pergi tinjau dulu, pergi dengan keadaan membuta tuli, tak boleh lah, jadi pasukan tinjau akan memberi taklimat kepada kami nanti lokasi sesuai. elemen tinjauan itu penting untuk kami bergerak, tempoh hari tak ada tinjauan sebab kena bergerak serta-merta," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Tentera Darat ke-90 hari ini.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini membina satu HMM di Turkiye untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada mangsa bencana itu yang dijangka beroperasi Rabu ini dengan menawarkan perkhidmatan perubatan bagi Tahap 1 dan 2, termasuk pembedahan.

Dalam pada itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk menghantar lebih ramai anggotanya bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi di negara berkenaan.

Zamrose bagaimanapun berkata penilaian dan semakan akan dibuat dari masa ke masa untuk melihat kesesuaian sama ada ia perlu ditambah atau tidak.

"Saya jangka mungkin (akan tambah), kami ikut arahan daripada Pejabat Perdana Menteri dan salur pada Majlis Keselamatan Negara untuk penilaian, kemungkinan akan hantar dan kami sentiasa bersedia," katanya dan menambah anggota dan aset untuk kegunaan di negara berkenaan ketika ini adalah mencukupi.

Ditanya sama ada wujud kekangan ketika anggota melakukan operasi SAR terbabit, beliau berkata mereka yang dihantar adalah terlatih dan boleh menyesuaikan diri dengan sebarang tekanan lebih-lebih lagi kebanyakan anggota dan pasukan perubatan pernah bertugas di Cox's Bazar selain misi MALBATT.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut lebih 30,000 nyawa dengan kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

Terdahulu, Zamrose ketika menyampaikan amanat sempena Hari Tentera Darat ke-90 berkata antara fokus utama TDM tahun ini ialah memastikan projek rumah keluarga di kem tentera darat disiapkan mengikut jadual serta menampung keperluan terutama di Sabah dan Sarawak.

"Sambutan pada tahun ini juga lebih bermakna kerana simbolik nombor 90 yang juga merupakan nombor tentera atau nombor badan pejuang tanah air tersohor iaitu Leftenan Adnan Saidi," katanya yang turut menyampaikan cenderahati kepada cucu Leftenan Adnan iaitu Ahmad Abdullah, 64.

Hari Tentera Darat yang akan disambut pada 1 Mac ini bertemakan 'Kesejahteraan Warga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin' dijadual diadakan di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur selain pelbagai acara termasuk Perbarisan dan Pembacaan Perutusan dan Karnival Terbuka TD.

Comment