Sekian lama kes terpendam kini Pandora Papers meletup semula.Tun Daim Zainuddin bekas Menteri Kewangan disiasat SPRM berhubung Pandora Papers yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion.
Tun Daim Zainuddin bekas Menteri Kewangan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Pandora Papers yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit.
Firma Daim di Kepulauan Virgin Britain atas nama anaknya Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim sebagai pemegang saham Newton Invest & Finance Limited (BVI) pada tahun 2007, yang memiliki hartanah di London bernilai GBP10 juta waktu itu selain isteri ketiganya Naimah Abdul Khalid. Begitu juga beberapa syarikat luar pesisir yang ditubuhkan di tempat perlindungan cukai itu, termasuk Splendid International Ltd (BVI) yang memiliki hartanah London bernilai GBP12 juta (kira-kira RM65 juta pada kadar pertukaran 2017). Newton Invest & Finance Limited (BVI) dan Splendid International (BVI) adalah antara senarai firma pemegang amanah dan syarikat berkaitan dengan Daim yang diperbadankan di tempat perlindungan cukai berkenaan.
Turut disebut rakan Daim ialah Josephine Premla Sevaretnam, bekas peguam dan timbalan pendakwa raya, yang pernah berkhidmat bersama Daim, sebelum memegang jawatan penting dalam pelbagai syarikat. Ini termasuklah bank Switzerland ICB Banking Group, yang dimiliki oleh Daim sebanyak 74.4 peratus, ketika disenaraikan di London Investment Investment Market pada tahun 2007. Nama Josephine muncul lagi di Newton Invest & Finance Limited (BVI) dan Splendid International Ltd (BVI) sebagai pengurus perniagaan, yang berpusat di Bryanston Square, London
Difahamkan Tun Daim sudah diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Menurut sumber siasatan ketika ini adalah menjurus kepada kekayaan luar biasa yang dimiliki beberapa individu termasuk bekas menteri dan individu kenamaan lain serta keluarga mereka, selain kaitannya dengan syarikat luar pesisir di luar negara.
SPRM juga menyiasat kemungkinan ada hubung kait kewangan yang dimiliki, hasil daripada tender dan projek kerajaan. Setakat ini, tiada pembekuan aset dilakukan oleh SPRM.
Pandora Papers, antara lain menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik, antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers.
Beliau pada sesi Parlimen 2021, berang malah menuduh Speaker Dewan Rakyat ketika itu sengaja menolak usul itu, malah mendakwa, Datuk Azhar Azizan bertindak sebagai 'peguam bela' kepada pemimpin politik dan ahli perniagaan yang dikaitkan dalam laporan itu.
Anwar berkata, pendedahan Pandora Papers itu perlu dibentang dan dibahaskan dengan segera kerana wujud dakwaan menyatakan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, mencecah ratusan bilion ringgit.
Katanya, ia wajar dibahaskan segera kerana ia bukan saja membabitkan Pandora Papers, tetapi juga laporan Global Financial Integrity (GFI) 2012 serta pendedahan Panama Papers pada 2015.
GFI dan Panama Papers antara lain mendedahkan pengaliran wang serta negara secara haram ke luar negara berjumlah RM1,800 bilion sejak 2004 hingga 2015.