Dua gol Saddil Ramdani pada minit ke-12 dan minit ke-71, manakala Park Taesu menyumbang satu gol pada minit ke-36, disusuli Stewart John Wilkin pada minit akhir permainan, membolehkan Sabah mengutip tiga mata penuh.
Sabah FC tidak memberi muka kepada PDRM FC apabila membelasah lawan itu 4-0 pada aksi pertama Liga Super 2023 di Stadium Likas, sebentar tadi.
Dua gol Saddil Ramdani pada minit ke-12 dan minit ke-71, manakala Park Taesu menyumbang satu gol pada minit ke-36, disusuli Stewart John Wilkin pada minit akhir permainan, membolehkan Sabah mengutip tiga mata penuh.
PDRM bagaimanapun bermula dengan garang menerusi percubaan penyerang importnya, Agba Uche pada minit ke-10 dan ke-11, namun gagal menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Enggan terus ditekan PDRM, skuad Sang Badak kemudian menyusun strategi menyerang balas sebelum Saddil akhirnya meledakkan gol pertama pada minit ke-12 hasil hantaran Telmo Castanheira.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kemudian berjaya menambah satu lagi jaringan menerusi Park Taesu pada minit ke-36 yang meletakkan skuad Sang Badak selesa mendahului 2-0 sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, kelalaian pertahanan PDRM membuka peluang kepada Saddil meledak gol keduanya pada minit ke-71.
Sabah kemudiannya menutup perlawanan dengan satu lagi gol pada minit ke-93 menerusi Stewart John Wilkin sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya di depan penyokong sendiri.