Pemberian khas untuk Sabah, Sarawak Menteri yakin melebihi 100%
02:03 Mar 06, 2023  |  By SabahKini2
Pemberian khas untuk Sabah, Sarawak Menteri yakin melebihi 100%

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata ketika ini, kerajaan persekutuan serta kedua-dua negeri berunding untuk memuktamadkan formula dan indikator yang digunakan bagi menentukan kadar pe

BACHOK: Pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak sedang diselaras oleh Kementerian Kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata ketika ini, kerajaan persekutuan serta kedua-dua negeri berunding untuk memuktamadkan formula dan indikator yang digunakan bagi menentukan kadar peningkatan pemberian khas itu.

“Telah ada persetujuan secara prinsip bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk meningkatkan pemberian khas itu melalui semakan.

“Sebaik sahaja ada keputusan muktamad, saya yakin Perdana Menteri akan umumkan kadar pertambahan pemberian khas itu yang saya cukup yakin melebihi 100% untuk kepentingan masyarakat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-13 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan jumlah pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula khusus diumumkan dan prinsip pemberian tersebut diputuskan oleh pemimpin terdahulu yang melihat kedudukan kedua-dua negeri semasa pembentukan Malaysia lebih mundur ketika itu.

Mengulas lanjut, Armizan berkata perdana menteri telah mengarahkan supaya 28 isu tertunggak sejak 2016 disusun semula oleh setiap agensi yang terlibat.

“Perdana Menteri tidak mahu berbalik pada rundingan awal… oleh sebab itu, kita dapat lihat beberapa pengumuman telah dilaksanakan dan selesai apabila keputusan disepakati oleh Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak,” katanya.

 

Comment