Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, dengan meterainya perjanjian-perjanjian itu, SEC kini memainkan peranan penting untuk menyokong pembangunan industri-industri dan ekonomi di Sabah.
KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) berjaya menandatangani beberapa Perjanjian Jualan Gas (GSA) dan Perjanjian Induk (HoA) dengan pelabur-pelabur utama di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, dengan meterainya perjanjian-perjanjian itu, SEC kini memainkan peranan penting untuk menyokong pembangunan industri-industri dan ekonomi di Sabah.
Beliau turut gembira melihat usaha kerajaan negeri untuk memainkan peranan utama dalam industri gas melalui syarikat milik penuh kerajaan dapat dicapai.
Katanya, kejayaan SEC itu adalah hasil meterainya perjanjian dengan Petronas pada Oktober lepas, apabila SEC berjaya mendapatkan kontrak menjadi pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di negeri ini.
Menurutnya, SEC juga dijangka akan mengambil alih saluran paip gas asli daripada Petronas bermula 1 April depan.
"Usaha ini baik untuk pembangunan ekonomi Sabah dan selari dengan aspirasi kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya selepas menyaksikan Majlis Tandatangan GSA dan HoA di sini, hari ini.
Sebelum ini, GSA pertama dimeterai adalah diantara SEC dengan SBH-Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd untuk pemprosesan pasir silika dan projek pembuatan panel solar.
SBH Kibing telah melabur sejumlah RM2 bilion di Sabah yang dijangka akan memberikan manfaat besar kepada negeri ini, khususnya dalam peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI).
Ia seterusnya menyediakan sejumlah 1,800 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah selain mampu membangunkan ekonomi sampingan.
SEC juga telah menandatangani GSA dengan SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd untuk menghasilkan kerajang tembaga untuk bateri serta untuk peralatan digunakan oleh industri-industri.
Syarikat berkenaan telah melabur sejumlah RM4.2 bilion dalam membina kilang kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP). Usaha itu dilihat akan menyediakan sejumlah 500 peluang pekerjaan.
Selain itu, SEC juga telah menandatangani HoA jualan gas dengan Petronas Gas Berhad untuk membekalkan gas asli.
Menerusi perjanjian jangka panjang itu, SEC akan memainkan peranan sebagai pembekal kepada projek loji bernilai RM230 juta di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Loji berkenaan dijangka siap pada suku pertama 2026 dan akan memainkan peranan penting sebagai pembekal tenaga tunggal kepada kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai sebanyak 2 juta tan setahun (MTPA).
Pada 17 Januari lalu, SEC juga memeterai Perjanjian Novasi Jualan Gas Asli dengan Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) sedia ada dengan jumlah kapasiti 880 MW.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong, Peguam Besar Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Pengerusi SEC Datuk Anwar Ayub dan Ketua Pegawai Eksekutif SEC Adzmir Abdul Rahman.