Muhyiddin hadapi 4 pertuduhan rasuah RM232.5 juta, ubah wang haram RM195 juta
05:03 Mar 11, 2023  |  By SabahKini2
Muhyiddin hadapi 4 pertuduhan rasuah RM232.5 juta, ubah wang haram RM195 juta

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

"Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan (PN) dan bekas Perdana Menteri.

Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas perdana menteri kedua yang terkenal dengan panggilan 'Abah' didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.

Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik parti, BERSATU.

Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik partinya, BERSATU.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.

Semua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden BERSATU menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Prosiding kes diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K Kumarendran, Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan serahan pasport sehingga kes selesai sementara 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan kes.

Pada 18 Februari lalu, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad sepupu menantu Muhyiddin dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.

BACA PERTUDUHAN PENUH

 

Comment