Usahawan tempatan digesa tingkatkan kualiti produk serta merebut peluang
19:03 Mar 12, 2023  |  By SabahKini2
Usahawan tempatan digesa tingkatkan kualiti produk serta merebut peluang

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua usahawan perlu merebut bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri mahu pun Persekutuan.

KOTA KINABALU: Peniaga dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) digesa agar menambah baik produk serta kualiti pembungkusan bagi meningkatkan imej produk masing-masing sekali gus berupaya memacu jualan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua usahawan perlu merebut bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri mahu pun Persekutuan.

“Pelancaran syarikat pembungkusan QPACK Sabah juga adalah tepat pada masanya. Saya melihat peranan QPACK Sabah dalam industri pembungkusan di negeri ini mampu menjadi tonggak kepada perkembangan IKS dan secara tidak langsung merancakkan pola industri niaga di negeri ini.

“Dalam industri perniagaan, pembungkusan memainkan peranan yang penting bagi sesuatu produk itu kerana pembungkusan ini akan menjadi `trademark’ serta imej kepada produk tersebut dan ini sekali gus menjadikan ia sebagai satu indikator pemasaran ke atas produk itu.

“Kepada usahawan di negeri ini, ambillah peluang untuk meningkatkan produk yang dihasillkan, bukan saja dalam aspek kualiti malah pembungkusan yang menarik, agar dapat bersaing dengan produk dari luar,” katanya ketika merasmikan Pelancaran QPACK Sabah Sdn Bhd di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.

Hajiji berkata, peruntukan khas tambahan dalam Belanjawan 2023 sebanyak RM600 juta untuk komuniti peniaga kecil di Sabah dan Sarawak, adalah inisiatif yang baik serta perlu diambil peluang oleh peniaga, usahawan IKS untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Sudah pasti peruntukan khas tambahan ini akan membantu peniaga kecil dan usahawan IKS di negeri ini, khususnya untuk menambah baik serta mempergiatkan promosi produk mereka.

“Selain peruntukan khas ini, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM6.17 juta kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan pada tahun ini, bagi mempergiatkan promosi produk-produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa.

“Dengan pelbagai peruntukan dan bantuan diberikan kerajaan selain pelancaran syarikat pembungkusan QPACK Sabah, saya berharap kita mampu melahirkan usahawan IKS yang dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sebarang usaha yang dilakukan oleh individu atau syarikat termasuk QPACK untuk merancakkan pembangunan ekonomi di negeri ini.

“Saya melihat kehadiran syarikat seperti ini turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak di negeri ini. Saya berharap QPACK yang dimiliki anak jati Sabah ini akan menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah hub evolusi pembungkusan terbesar suatu hari nanti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap peniaga dan usahawan IKS walau dari mana berasal, kampung mahu pun luar bandar, jika berusaha untuk maju ke hadapan, pasti akan berjaya.

Comment