Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pensijilan ABMS amat bermakna dan relevan dalam bidang kuasa PBT.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pensijilan ABMS amat bermakna dan relevan dalam bidang kuasa PBT.
SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Sabah mendapat pentauliahan pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) ISO 37001:2016.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pensijilan ABMS amat bermakna dan relevan dalam bidang kuasa PBT.
Menurutnya, ABMS ISO 37001:2016 memainkan peranan bukan sahaja untuk mengelak, mengesan dan bertindak ke atas sebarang kes salah laku rasuah.
Malah katanya, ia turut membantu pihak PBT untuk meningkatkan tahap pengurusan risiko berkaitan dengan perlakuan rasuah.
"Ia dapat meningkatkan tahap keyakinan dan kepercayaan semua pihak berkepentingan yang berurusan secara terus dengan PBT terutama sekali orang awam.
"Kami di kementerian amat mengharapkan agar momentum yang dimulakan oleh MPS melalui pensijilan ini dapat dikekalkan dan ditambah baik pelaksanaannya sesuai dengan keperluan piawaian yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan pensijilan ABMS kepada MPS di sini hari ini. Pada majlis itu, Joachim turut melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi MPS 2022-2026.
Joachim mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan penyelaras dan seluruh kakitangan MPS atas usaha keras untuk mendapatkan pensijilan yang disifatkan satu tugas yang bukan mudah.
"Ini membuktikan dengan muafakat dan kesepakatan yang baik kita sebenarnya mampu mencapai apa yang kita kehendaki. MPS sudah berjaya menyahut cabaran kementerian dengan jayanya dan saya ingin melihat selepas ini akan ada PBT lain yang berjaya mendapatkan pensijilan ABMS ISO 37001:2016 ini.
"Piawaian yang ditetapkan dalam mana-mana sistem pengurusan ISO membantu organisasi meningkatkan prestasi serta mutu perkhidmatan melalui pelaksanaan proses kerja yang standard demi mencapai matlamat dan objektif," katanya.
Beliau berkata, pensijilan berkenaan turut menjadi pengiktirafan terhadap pematuhan piawaian pengurusan antarabangsa dan tempatan.s
Menurutnya, pihak pengurusan dan juga ahli majlis perlu memberikan sokongan dan komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan.
“Sekalung penghargaan khusus kepada NIOSH Certification Sdn Bhd kerana usaha gigih dalam memberikan latihan kepada seluruh kakitangan MPS serta persetujuan untuk menyerap sebahagian besar daripada kos pensijilan ini.
"Ini adalah satu kerjasama yang amat baik kerana sememangnya dalam mana-mana program, isu kos sering menjadi kekangan.
“Bagaimanapun, saya harapkan isu ini tidak menjadi halangan kepada PBT yang lain untuk mendapatkan pensijilan ini kerana kita melihat kelebihan yang bakal diperoleh melalui pensijilan ini sebenarnya sangat menguntungkan PBT," jelasnya.
Selain itu Joachim berkata, Pelan Antirasuah Organisasi MPS 2022-2026 satu lagi pencapaian yang perlu diberi penghargaan kerana ia menunjukkan inisiatif serta komitmen MPS dalam memastikan isu salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan sentiasa dapat diurus dengan menggunakan suatu kerangka yang bersepadu.
“Saya berharap agar pelaksanaan pelan ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan diterapkan sepenuhnya dalam budaya kerja harian seluruh kakitangan MPS," katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Mohd Hamsan Awang Supian; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Jamili Nais dan Presiden MPS Henry Idol.