RM406 juta diperuntukan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Serusup, Tuaran
15:03 Mar 22, 2023  |  By SabahKini2
RM406 juta diperuntukan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Serusup, Tuaran

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata projek itu akan dilaksanakan di atas tapak tanah seluas 15.61 ekar di dua lokasi berdekatan.

TUARAN: Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM406 juta untuk membina satu lagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Kampung Serusup, di sini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata projek itu akan dilaksanakan di atas tapak tanah seluas 15.61 ekar di dua lokasi berdekatan.

Katanya, PPR itu nanti mempunyai lima blok jenis pangsapuri yang menyediakan sebanyak 1,853 unit rumah mampu milik untuk golongan B40.

“Daripada jumlah itu, tiga blok mengandungi 1,062 unit dibina di tapak seluas 8.92 ekar, manakala dua blok lagi 792 unit dibina berdekatan di atas tanah seluas 6.69 ekar.

“Projek tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, sebaik sahaja perjanjian tambahan usahasama (kali kedua) dengan pemaju ditandatangani selepas bulan Ramadan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata demikian selepas melawat tapak projek tersebut, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, projek PPR itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi memenuhi keperluan rakyat terutamanya golongan B40 dan dijangka siap pada tahun 2025.

“Pangsapuri yang mempunyai dua bilik itu dijual pada kadar harga RM250,000 ke atas dan akan dilaksanakan secara usahasama dengan pemaju tempatan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi LPPB Datuk Jamilah Antalip, Ahli Lembaga Pengarah LPPB, Pengurus Besar LPPB, Rosemary Ahping; Pengurus Komersial LPPB, Della Sindul, Pegawai Jabatan Tanah dan Ukur, Isidore Lajawah dan wakil Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah.

Comment